TRIPOLI 16 April - Pemerhati Hak Kemanusiaan (HRW) menuduh tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi melancarkan serangan bom berangkai di bandar Misrata yang dikuasai oleh pemberontak.
Bagaimanapun, kerajaan Libya menafikan tindakan berkenaan.
HRW dalam satu kenyataan berkata, tentera kerajaan melancarkan bom berangkai yang diharamkan di lebih 100 negara ke kawasan perumahan di Misrata, mengakibatkan risiko tinggi kecederaan dan kematian kepada orang awam.
Kumpulan itu berkata, ia mendapati sekurang-kurangnya tiga letupan bom berangkai dilancarkan di kawasan perumahan el-Shawahda pada waktu malam, kelmarin.
"Para penyelidik menemui saki-baki satu bom berangkai dan saksi-saksi turut mengesahkan penggunaan bom tersebut,'' kata kumpulan itu dalam laman webnya.
HRW memberitahu, bom berangkai itu adalah jenis bom mortar MAT-120 120 mm keluaran Sepanyol yang meletup di udara dan boleh membebaskan 21 bom kecil di kawasan yang luas.
Badan itu berkata, pihaknya tidak dapat memastikan jika terdapat orang awam di Misrata cedera atau terbunuh akibat penggunaan senjata itu.
Jurucakap kerajaan Libya, Ibrahim menafikan dakwaan tersebut.
"Selepas menggunakan bom ini, bukti penggunaannya tidak akan hilang dalam tempoh yang singkat. Kami tahu masyarakat antarabangsa sedang melihat negara ini. Jadi kami tidak akan berbuat demikian,'' katanya.
HRW berkata, lebih 100 negara telah mengharamkan penggunaan bom berangkai namun Libya bukan sebuah daripada negara itu. - Reuters