
MANIS dan masih ranum anak muda ini. Nama Nikita Willy mungkin masih asing di kalangan penonton drama bersiri Indonesia namun wajahnya yang ayu itu senang menangkap mata dan jiwa. Ditambah pula dengan senyuman nan cukup manis.
Usai drama lakonannya iaitu Cinta dan Anugerah berakhir pada 6 April lalu, khalayak disambungkan pula dengan sebuah drama lakonan gadis berusia 17 tahun ini. Melalui slot Mutiara Hati di saluran TV9, drama Nikita yang bermula 7 April lalu itu disiarkan mulai Isnin hingga Jumaat pada pukul 5.30 petang di saluran yang sama.
Kali ini dia membawakan karakter dan perjalanan hidup seorang gadis yatim piatu bernama Nikita yang terpaksa mengharungi keperitan kehidupan sehari-harin.
Aktres yang pernah meraih gelaran Pelakon Terbaik Anugerah Global Panasonic tangkas membawa kesedihan dalam kehidupan gadis yang tidak tahu bahawa dia sebenarnya terpisah dengan ibu bapanya ketika masih kecil akibat hanyut dibawa arus sungai. Turut terlibat dalam drama penuh emosi ini adalah pelakon handalan Lydia Kandau dan Anwar Fuadi.
Melihatkan kegigihan seorang gadis muda menyandang status aktres di celah ribuan aktres lain di Indonesia, ternyata Nikita mempunyai prinsip hidup yang tersendiri.
‘Jangan cepat berasa puas,’ merupakan prinsip yang dipegang teguh oleh aktres muda ini.
Menyedari tidak selamanya berada di atas dan hidup ini sentiasa berputar, dia membangunkan sikap disiplin dalam dirinya.
“Kerana saya masih muda jadi saya mahu sentiasa menghabiskan masa bersama teman-teman. Selesai penggambaran drama, saya akan bersama teman-teman,” ujarnya.
Pernah berdepan kontroversi kononnya dia mempunyai video porno walhal pelakon sebenarnya adalah selebriti Jepun, penyanyi lagu Lebih Dari Ini tersebut sebenarnya lebih mahu sensasi daripada aspek yang lain.
“Saya teringin membawakan karakter jahat. Kalau dapat melakukan adegan yang penuh aksi dalam drama, saya mahu melakukannya sendiri,” ujarnya yang mengagumi aktres Hollywood, Jodie Foster.
Terbiasa membawakan watak syahdu dalam drama-drama seperti Putri Yang Ditukar, Safa dan Marwah dan Roman Picisan, Nikita tahu itu kehendak khalayak buat dirinya.
“Memang drama sekarang banyak menangis dan cuma peranan itu yang dimahukan penonton. Malah mereka juga memberitahu saya bahawa menginginkan air mata saya,” ujarnya dalam satu temuramah ketika popular dengan drama Putri Yang Ditukar.
Dalam melayani permintaan drama-drama yang semakin menerjah dalam kehidupan mudanya, Nikita yang pernah menghasilkan sebuah album mini ini menyimpan hasrat.
“Saya mahu lebih banyak berlakon filem tetapi harus menyelesaikan dahulu drama-drama. Berlakon filem itu lebih mencabar namun drama pula merupakan pekerjaan seharian saya,” ujarnya yang hanya tidur lima jam sehari kerana kesibukan membahagikan masa belajar dan berlakon.