Sunday, April 17, 2011

Minuman herba dapat sambutan



MELAKA 26 Julai - Apabila memperkatakan mengenai minuman tenaga, pasti ramai yang mengetahui isi kandungan yang digunakan adalah terdiri daripada isotonik dan beberapa bahan lain.
Terdapat sesetengah minuman tenaga menggunakan bahan pengawet yang tidak halal apabila mencampurkan alkohol sebagai pemberi tenaga.
Namun, satu kelainan yang ditonjolkan oleh syarikat bumiputera Damai Herbs Global Industries (Damai Herbs) berpengkalan di Telok Mas dekat sini.
Syarikat tersebut mengeluarkan sejenis minuman tenaga menggunakan kelebihan khasiat herba daripada kemunting Cina dan melada pahit.
Ia menjadi produk tenaga baru yang mendapat tempat di pasaran dan menjadi perbualan hangat bagi mereka yang gemar mengamalkan minuman tenaga tanpa perlu rasa sangsi atas isi kandungan yang digunakan.
Diadun menggunakan formula bunga kemunting Cina (Catharanthus roseus) dan bijian melada pahit (Java Brucea) mula dikomersialkan sejak Mac lalu.
Minuman tenaga yang dikenali sebagai Maxin khususnya memberi tenaga untuk lelaki dan wanita di samping minuman tonik herba Royal Zabran.
Formula yang digunakan sejak berzaman itu bukan sahaja bertujuan memberi tenaga kepada mereka yang meminumnya malah menjamin kesihatan yang lebih baik serta menangani pelbagai penyakit.
Penggunaan ramuan herba dalam minuman tenaga seperti kemunting cina dan melada pahit mempunyai khasiat tersendiri kerana ia mengandungi herba ramuan, minuman tenaga ini diperkayakan dengan vitamin C, B5, B6 dan B12.
Tidak hanya menggunakan dua herba tersebut sebaliknya ramuan itu dicampur dengan kacip fatimah, tongkat ali, madu dan jus kurma meningkatkan lagi kandungan tenaga dalam minuman tersebut.
Kemunting Cina dan melada pahit diekstrak dengan kaedah pengeringan dalam ketuhar dengan suhu kira-kira 100 darjah celsius dan rebusan yang mengambil masa lebih enam jam.
Selepas bahan tersebut dikeringkan ia akan direbus dengan kacip fatimah, tongkat ali, madu dan jus kurma dalam tempoh antara empat hingga lima jam.
Selepas itu, bahan tersebut telah diadunkan, air isotonik dicampur dan seterusnya dibotolkan selepas melalui ujian bagi memastikan ia tidak tercemar dan selamat untuk diminum.
Penggunaan kedua-dua herba tersebut mendapat kelulusan daripada Institut Sains Biologikal, Universiti Malaya (UM), Institut Kajiselidik Taiwan yang telah mengesahkan herba itu mampu memusnahkan bakteria yang menjadi penyebab kepada disentri ameoba.
Bukan sahaja memberikan tenaga, minuman herba yang dihasilkan oleh Damai Herbs mampu membantu menyembuhkan pelbagai penyakit, antaranya kencing manis dan darah tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Damai Herbs Zainal Shahrin Md Zin berkata, idea untuk menghasilkan minuman bertenaga itu berpunca daripada saranan empat rakan karibnya yang mempunyai kepakaran dalam bidang minuman berkhasiat.
''Saya dan empat sahabat berpakat untuk menceburi bidang membuat minuman tenaga kerana kami masing-masing ada kepakaran tersendiri," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurutnya, walaupun baru lima bulan dikomersialkan, pihaknya telah menerima banyak maklum balas daripada orang ramai yang menggemari air minuman Maxin ini.
Selain itu, sambutan daripada kedai-kedai runcit, farmasi dan stesen minyak terpilih seluruh negeri ini amat menggalakkan dan memaksa Damai Herbs mengeluarkan 10,000 botol seminggu.
Katanya, air tenaga Maxin mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan sijil Halal daripada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Menurut beliau lagi, selain khasiatnya sebagai pemberi tenaga menggunakan ramuan herba harga sebotol hanya RM2.50 (200ml) dan ia mampu dibeli oleh mana-mana golongan.
Selain harganya rendah, botolnya juga mesra pengguna dan menarik.
Menceritakan mengenai strategi pada masa hadapan, pihak Damai Herbs sudah menerima tempahan untuk mengeksport Maxin dan Royal Zabran untuk pasaran Dubai selewat-lewatnya akhir tahun ini.
''Ini adalah hasil kerjasama Damai Herbs dengan Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia yang mahukan produk tempatan dikenali di mata dunia melalui herba-herba ramuan yang digunakan.
''Buat permulaan, kita akan menghantar lebih 200,000 tin minuman Maxin sebelum akhir tahun ini dan ketika ini kami masih dalam peringkat perbincangan untuk menentukan kuantiti penghantaran minuman tonik herba Royal Zabran," katanya.
Bagi memenuhi permintaan tersebut, Zainal Shahrin berkata, Damai Herbs telah mengubah cara pembungkusan minuman tenaga Maxin daripada bentuk botol ke tin khas untuk pasaran luar negara.