Sunday, April 17, 2011

Giliran Zamri pamer kehebatan



PELUMBA Petronas Syntium Moto Yamaha AHM, Mohd. Zamri Baba menggunakan segala pengalaman yang ada untuk menguasai sesi ujian masa bagi kategori CP130 pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang semalam.
Selain muncul pelumba terpantas, catatan 54.418 saat yang dilakukan Zamri turut mengatasi rekod catatan masa sepusingan terpantas di litar ini (55.148s) yang dilakukan oleh Azlan Shah Kamaruzaman pada tahun lepas.
Zamri, 28, tidak menyangka mampu mencipta masa yang begitu baik termasuk mengatasi rekod catatan terpantas di Batu Kawan milik Azlan.
"Sebenarnya saya tidak sangka akan mencatat masa yang sepantas ini. Saya berpendapat, cuaca merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi system enjin.
"Ini kerana kami menggunakan pelarasan enjin ketika sesi latihan pertama dan saya berjaya mengurangkan 1.3 saat berbanding dengan catatan masa sebelum ini (55:757s).
"Bagaimanapun, kami masih mempunyai satu lagi sesi latihan pada esok pagi dan saya mahu cuba menggunakan pelarasan jentera yang saya gunakan pada sesi latihan kedua.
"Saya harap dapat muncul juara kali ini, bukan hanya sebagai kemenangan pertama musim ini, namun kemenangan pertama sejak musim lepas lagi," katanya yang telah menamatkan perlumbaan di tempat kedua sebanyak empat kali pada musim lepas dan baru-baru ini di Kangar dia juga berada di podium yang kedua.
Abdul Muhaimin Roslan dari pasukan Yamaha Maju Motor Racing mencatat masa kedua terpantas (54.856s) manakala seorang lagi pelumba berpengalaman, Ahmad Fazli Sham Ahmad Walat dari Pennzoil Fastrac ketiga (54.926s).
Rakan sepasukan Zamri yang juga juara Pusingan 1, Mohd. Ramdan Mohd. Rosli yang mengalami kecederaan kaki kiri ketika latihan motocross minggu lepas sekadar di tempat ke-18 apabila (1:06.313s).
Saingan kategori CP115 pula menyaksikan Ahmad Abdul kadir (APIDO Yamaha Boon Kui Racing) mencatat masa terpantas (56.201s) menewaskan juara CP115 di Kangar, bulan lepas, Shahril Izzuwan Mohd. Noor (Petronas Syntium Moto Yamaha AHM).
Shahril sekadar mencatat 56.262s manakala seorang lagi pelumba tempatan, Mohd. Rozaiman Mohd. Said (Motul Yamaha YY Pang Racing) di kedudukan ketiga (56.346s).
Sementara itu, dalam kategori Wira, Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) muncul pelumba terpantas apabila mencatat masa 57.898s mengatasi juara keseluruhan tahun lalu, Mohd. Adib Mohd. Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing)
Adib yang juga juara di litar ini musim lepas sekadar ketinggalan 0.100s kepada Zulsyafiz manakala Mohd. Solehin Mohd. Sukor (Honda Promax X-Dot Racing) di kedudukan ketiga (58.047s).