Sunday, April 17, 2011

Pukauan Buno Mars



SENYUMAN manis Bruno Mars membuatkan para pencintanya ‘histeria’ sepanjang konsert. Dia merupakan penghibur walau hanya dengan sebuah album studio.



KEHANGATAN Bruno Mars sudah dirasai sewaktu penjualan tiketnya lagi. Tiket konsert habis terjual dalam tempoh singkat. Sememangnya itu petanda, lelaki kelahiran Hawaii, Amerika Syarikat ini dinanti-nantikan walaupun hanya membawa cenderahati sebuah album.
Kuala Lumpur merupakan lokasi keempatnya di Asia selepas Jakarta, Indonesia dan Cebu serta Manila, Filipina.
Penyanyi Malaysia, Mizz Nina memulakan kehangatan pada malam 10 April lalu dengan dendangan tiga lagunya. Keterujaan penonton naik mendadak apabila melihat sebuah pembuka konsert bertenaga diberikan oleh penyanyi What You Waiting For ini. Syabas Mizz Nina.
Kelibat Bruno Mars masuk ke pentas dengan hentakan dram yang padu. Sebuah intro yang secara metaforanya menunjukkan kepada khalayak dia bukan sekadar penyanyi tetapi lebih daripada itu. Habis mengetuk, dia mencapai gitar untuk dipetik. Memulakan bicara melodi dan lagunya dengan Space Odyssey, Other Side dan Top of the World.
Menambahkan histeria peminatnya yang memenuhi dewan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, dia menyanyikan lagu Money dan Billionaire, hit yang menaikkan nama Bruno gandingan bersama Travie McCoy.
Menariknya tentang lelaki yang pernah dilabel sebagai salah seorang penyanyi pop versatil ini, dia membawakan setiap lagunya dengan pancaran keikhlasan. Senyumannya memikat, vokalnya melekat.
Bruno yang merupakan peminat The Police, Led Zeppelin dan The Beatles ini tahu untuk berkomunikasi dengan baik dan membuatkan hati penggemarnya cair dengan bait-bait lagu yang dinyanyikan terutamanya melalui lagu Marry You.
Sistem bunyi konsert malam tersebut sangat memuaskan cuma tidak setanding dengan pancaran lampu yang kurang cantik dilihat. Namun ia ditutup dengan 14 buah lagu nyanyian Bruno yang padu.
Lagu hit Just The Way You Are dan Runaway menutup tirai konsert penyanyi yang telah memenangi kategori Persembahan Vokal Pop Lelaki terbaik di Anugerah Grammy ke-53 lalu. Dia hebat dengan hanya album Doo-Wops & Hooligans. Dia telah menghipnotis penggemarnya dengan baik sekali. – SOFIATUL SHIMA WAN CHIK