KALAU dah hidung tinggi, cantik macam mana sekalipun, wajah molek tetap dipandang hodoh. Begitulah perumpamaan Diva terhadap seorang artis cantik tetapi banyak fiil ini.
Kata salah, tak kata pun salah, serba salah dibuatnya. Terbaru Diva dengar artis itu yang baru-baru ini menggondol hadiah terbaru mula tunjuk perangai berangannya.
Disebabkan dia tak kenal siapa yang datang nak bergambar dengannya, dia dengan muka selamba menolak permintaan seseorang yang jujur ingin merakamkan kenangan bersama artis pujaan ramai itu.
Hendak dijadikan cerita, si polan yang mahu bergambar itu ialah seorang wartawan baru.
Kasihan, mentang-mentanglah dia budak baru dan belum dikenali artis, mudah sahaja si aktres tadi memperlekehkannya. Terpinga-pinga jadinya si budak itu apabila permintaannya tidak dilayan si aktres.
Sejak dahulu lagi banyak kejadian tidak enak dikaitkan dengan aktres yang banyak perangai itu.
Kalau ada orang kata wartawan pilih bulu, artis lebih daripada itu.
Apabila dengan wartawan yang bodek melangit, bukan main rancak dan mesra dia ditemu ramah.
Tapi bila ditanya oleh wartawan yang kurang dikenali, terus jawab ‘no comment’.
Pernah sekali seorang wartawan yang hendak menemuramahnya terpaksa menunggu lebih sejam disebabkan aktres itu mahu melayan kawan-kawannya dahulu.
Pesanan untuk individu yang terkena layanan kelas rendah oleh artis berkasta tinggi itu, jadikan tragedi diperlakukan seperti budak hingusan itu sempadan pada masa hadapan.
Bila kalian dah hebat nanti, pasti ada artis yang tak semena-mena nak bergambar dengan kalian atau minta ditemu ramah.
Macam seorang kawan Diva baru-baru ini, terkejut beruk dia bila seorang artis yang pernah diselarnya tiba-tiba meminta untuk merakamkan gambar bersama. Tak tahulah untuk dijadikan bukti atau apa, yang penting ajak bergambar.

Diva: Nak ajak wattawan dan artis baca buku Melayu Hilang Di Dunia karya Khalid Salleh, biar sedar sikit di mana bumi dipijak.