LOS ANGELES 16 April - Bintang Twilight, Taylor Lautner mengakui dia mengagumi kekasihnya, Lily Collins, anak kepada penyanyi Phil Collins.
Aktor tersebut menjelaskan, Lily berjaya mencuri hatinya ketika mereka berlakon bersama dalam filemAbduction.
"Saya tidak berapa mengenalinya (Lily) malah hanya pernah bertemu dengannya beberapa kali sahaja namun dia berjaya menambat hati saya. Dia sangat hebat.
"Lily seorang pelakon yang berbakat dan setiap kali saya mengalami kesukaran dengan watak sebagai Nathan, dia sentiasa memberikan sokongan," kata Lautner.
Aktor itu turut mendedahkan mereka berasa selesa dan mudah untuk melakonkan adegan romantik.
"Bagi melakonkan adegan romantik, ia bergantung kepada pasangan dan bagaimana anda menghayatinya kerana kadang-kadang ia boleh menjadi sesuatu yang pelik.
"Namun sekiranya anda benar-benar bijak menghayati watak yang diberikan, tidak kira apa jua masalah, anda pasti dapat lakukannya," ujar Lautner. - Agensi