JASIN 16 April - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka menembak mati kera jantan liar yang dipercayai mencederakan seorang kanak-kanak berusia 15 bulan dan pengasuhnya ketika mereka sedang tidur di rumahnya di Kampung Kilang Berapi, Merlimau, di sini semalam.
Pengarah Perhilitan negeri, Abd. Rahim Othman berkata, sepasukan enam anggotanya memburu haiwan itu sejak awal pagi sebelum berjaya menembak mati tiga ekor kera jantan kira-kira pukul 3 petang.
"Kita percaya, salah seekor merupakan kera jantan yang menyerang dan mencederakan seorang pengasuh dan bayi semalam. Ia ditembak kira-kira 700 meter dari rumah pengasuh terbabit," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, kanak-kanak malang itu, Siti Hajar Abdul Razak menerima hampir 30 jahitan di bahagian muka akibat diserang seekor kera liar ketika tidur di rumah pengasuhnya, Rokiah Abdul Rahman, 59.
Kejadian yang kali pertama berlaku di kampung terbabit turut menyebabkan Rokiah cedera di kedua-dua belah tangannya akibat digigit haiwan itu.
Mengulas lanjut, Abd. Rahim berkata, pihaknya akan melakukan operasi memburu kera liar dan memasang perangkap di kawasan kampung terbabit dari semasa ke semasa.
Sementara itu, tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, rata-rata penduduk mengakui terdapat kera liar di kawasan terbabit dan mula kerap diganggu haiwan itu sejak enam bulan lalu.