KUALA LUMPUR 16 April - Pelakon Norman Hakim dan tunangnya, Memey Suhaiza mendakwa bukan sengaja tidak hadir perbicaraan kes khalwat mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam sehingga dikenakan waran tangkap, sebaliknya kesibukan menjalani penggambaran menyebabkan mereka tidak sempat berbuat demikian.
Menurut Norman, 35, apa yang berlaku adalah di luar perancangannya dan meminta maaf kerana telah menyusahkan pelbagai pihak.
"Apa daya saya kerana masa tidak mengizinkan saya sampai cepat. Saya ingat selepas siaran langsung di TV3 pagi semalam, saya sempat ke mahkamah. Dalam keadaan mengantuk kerana sebelum itu penggambaran drama Keranamu Laila habis lewat, saya tetap memandu ke mahkamah," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.
Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon berkata, dia bukan sengaja mencari alasan tapi apa yang berlaku adalah di luar jangkaan dan ini merupakan kali pertama dia dan Memey tidak hadir perbicaraan sejak kes khalwat mereka mula dibicarakan tiga tahun lalu.
Sementara itu Memey, 23, berkata, sejak seminggu lalu dia berada di sebuah kampung di Bahau, Negeri Sembilan menjalani penggambaran telefilem Fatimah Labuci.
Katanya, jika penggambaran telefilem arahan MP Roslin itu dibuat di sekitar ibu kota, sudah pasti dia akan mencuri masa untuk ke mahkamah.
"Saya harap orang tidak salah faham. Waran itu hanya peringatan dan ini adalah kali pertama saya tidak hadir. Lagipun saya sudah maklumkan perkara itu kepada peguam," katanya.
"Awal-awal lagi saya beritahu peguam yang saya ada penggambaran pada tarikh berkenaan dan akan cuba hadir. Bagaimanapun, setelah berbincang dengan pengarah dan penerbit, saya tidak diberi pelepasan kerana ia akan mengganggu jadual penggambaran," katanya.
Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi berkata, dia berada dalam dilema kerana tuntutan kerja yang tidak dapat dielakkan dan pada waktu sama terpaksa menyelesaikan masalah peribadi.
"Tengoklah nanti apa yang berlaku pada saya. Jika saya pergi semalam,
penggambaran tergendala dan akan menyusahkan banyak pihak. Bila saya tidak pergi, keluar pula waran tangkap. Saya bukan sengaja hendak menimbulkan masalah, saya tidak hadir kerana bersebab dan sudah memaklumkannya sedari awal lagi," katanya.
Kedua-dua pelakon itu dibicarakan atas tuduhan berada bersama dalam keadaan yang menimbulkan syak di sebuah pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, dekat sini antara pukul 1.45 pagi dan 3 pagi 30 Oktober 2008.
Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala Memey pula dituduh di bawah Seksyen 29(1)(b) enakmen sama yang kedua-duanya memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pasangan itu juga diarahkan oleh Hakim Syarie, Salehan Yatim memfailkan hujahan balas pada 20 Mei ini sebelum pihak pendakwaan memfailkan jawapan selewat-lewatnya pada 20 Jun ini dan mahkamah akan membuat keputusan pada 29 Julai depan.
Pelakon itu yang sibuk menjalani penggambaran drama Keranamu Laila di Banting memberitahu, dia sebenarnya sudah sampai ke kawasan mahkamah semalam, namun terlewat dan dimaklumkan oleh wakil peguam bahawa hakim sudah mengeluarkan waran tangkap.