
AZIZULHANI (depan) diletakkan harapan yang tinggi untuk memenangi pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik.
SIRI 1
MALAYSIA serius untuk menggenggam emas pada Sukan Olimpik - temasya sukan terbesar di muka bumi.
MALAYSIA serius untuk menggenggam emas pada Sukan Olimpik - temasya sukan terbesar di muka bumi.
Ia bukan omongan kosong.
Sasaran awal untuk merealisasikan hajat besar itu adalah pada temasya 2012 yang bakal berlangsung di London.
Sudah 55 tahun menanti ia menjelma dan lebih kurang 27 juta rakyat negara ini pastinya tidak mahu terus menggigit jari menyaksikan sebutir pingat emas yang diharapkan itu terlepas begitu sahaja.
Justeru, Sukan Olimpik 2012 yang bakal membuka tirainya pada 27 Julai hingga 12 Ogos tahun depan di United Kingdom dilihat sebagai peluang terbaik bagi merealisasikan impian tersebut.
Jika diambil kira daripada semua aspek, penantian yang dialami rakyat negara ini sepatutnya tidak berlaku.
Pelbagai kemajuan telah dikecapi sepanjang tempoh 54 tahun Malaysia bebas daripada taklukan kuasa penjajah namun sebutir pingat emas pada temasya berprestij dunia itu masih belum mampu dijelmakan.
Apa agaknya punca sebenar perkara ini terjadi? Adakah Malaysia kekurangan atlet-atlet yang berkualiti bagi bersaing dengan jaguh-jaguh dunia yang lain atau pun atlet negara hanya layak di gelar jaguh 'kampung' sahaja?
Sejak mula mengambil bahagian pada Sukan Olimpik 1956 di Australia, atlet-atlet yang menggalas cabaran kontinjen negara hanya mampu berpuas hati dengan meraih pingat perak dan gangsa sahaja.
Pada Sukan Olimpik 1992 di Barcelona, kontinjen negara mengutip satu gangsa manakala pada Sukan Olimpik 1996 di Atlanta mereka berjaya membawa pulang satu pingat perak dan satu gangsa.
Temasya Sukan Olimpik 2008 di Beijing pula menyaksikan hanya satu pingat perak berjaya dihasilkan.
Mungkin ramai yang sedar mengenai perkara ini tetapi percaya ataupun tidak, kesemua pingat yang dimenangi kontinjen Malaysia itu sebenarnya hadir menerusi acara badminton.
Mana perginya atlet-atlet sukan lain yang turut bertanding pada temasya tersebut?
Adakah mereka sekadar pergi 'makan angin' ataupun memang tidak layak bertanding pada temasya berprestij itu?
Sedar dengan situasi tersebut, pihak kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tampil dengan cetusan idea yang dilihat mampu memartabatkan arena sukan negara di pentas antarabangsa.
Rentetan kejayaan Datuk Lee Chong Wei yang pada mulanya berpeluang cerah untuk menghadiahkan pingat emas pertama sebelum berpuas hati dengan pingat perak di Beijing, KBS sudah tidak mahu menoleh ke belakang lagi.
Selepas melakukan penelitian daripada segenap aspek, satu program khas yang diberi nama Program Road to London (RTL) 2012 diperkenalkan bagi memastikan impian memenangi pingat emas pertama Sukan Olimpik berjaya direalisasikan.
Tanggal 16 Februari 2009 menjadi detik bersejarah buat arena sukan tanah air apabila RTL 2012 secara rasminya dilancarkan dan telah disempurnakan oleh mantan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketika itu, sebanyak tiga acara telah dipilih untuk diserapkan dalam program tersebut iaitu badminton, berbasikal dan memanah membabitkan penglibatan 19 atlet.
Kesemua mereka dipilih berdasarkan pencapaian serta prestasi semasa di pentas antarabangsa.
Kini, setelah setahun berlalu, sebanyak tujuh acara telah pun diserapkan dalam RTL 2012 yang mana ia membabitkan penglibatan seramai 77 atlet secara keseluruhannya.
Jika badminton, berbasikal dan memanah menjadi tiga acara pertama yang berada dalam RTL 2012, menembak, bola sepak, hoki dan terjun turut membuktikan yang mereka layak disenaraikan sebagai acara yang mampu menghadiahkan sebutir pingat emas buat kontinjen negara.
Namun, langit tidak selalunya cerah.
Ketika kerajaan dilihat benar-benar serius untuk merealisasikan impian merangkul pingat emas pertama pada Sukan Olimpik, ada pula segelintir pihak mempertikaikan langkah yang diambil itu.
Mereka mempertikaikan keputusan pemilihan acara dan atlet yang disenaraikan untuk berada di bawah RTL 2012.
Ini kerana, hanya acara-acara utama serta atlet-atlet yang dilihat benar-benar berpotensi sahaja dipilih sedangkan program seumpama itu sepatutnya memberi peluang sama rata dengan acara-acara yang turut dipertandingkan pada Sukan Olimpik.
Turut dipertikaikan adalah faktor usia atlet yang dilihat semakin dimamah usia tetapi tetap menjadi sandaran dalam RTL 2012 sedangkan negara masih ramai atlet muda yang boleh digilap bakat mereka untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Ada kebenarannya terhadap apa yang diperkatakan itu dan ia turut diakui oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong.
Bagaimanapun, Zolkples menjelaskan sehingga kini hanya acara serta atlet-atlet yang disenaraikan dalam RTL 2012 itu sahaja menampakkan potensi besar merealisasikan impian meraih pingat emas pertama Sukan Olimpik jika dibandingkan dengan acara sukan yang lain.
"Itu yang terbaik kita ada ketika ini. Ambil contoh Chong Wei, memang benar usianya semakin meningkat tetapi dia masih mampu mengekalkan kedudukan selaku pemain No. 1 dunia dan kini hanya tinggal setahun sahaja lagi sebelum Sukan Olimpik bermula.
"Kita tidak boleh mengeluarkan Chong Wei daripada program ini begitu sahaja. Lagipun, dia merupakan seorang atlet yang istimewa jika dibandingkan dengan pemain-pemain lain yang kita miliki sebelum ini termasuklah ketika era Datuk Misbun Sidek serta Datuk James Selvaraj dahulu.
"Saya merasakan Chong Wei adalah lebih bagus daripada mereka," jelas Zolkples ketika ditemuiKosmo! Ahad di Bukit Jalil baru-baru ini.
Tambah beliau, faktor usia sebenarnya tidak perlu dijadikan isu dalam hal ini kerana ia telah terbukti bahawa atlet-atlet berusia dari negara-negara lain yang mengambil bahagian pada Sukan Olimpik masih mampu meraih pingat emas.
Secara matematiknya, idea bagi mewujudkan RTL 2012 tercetus selepas berakhirnya Sukan Olimpik 2008 dan bermula daripada itu Malaysia sebenarnya mempunyai tempoh empat tahun bagi menyediakan atlet-atlet untuk diketengahkan ke temasya terhebat itu.

BIBIANA NG masih lagi berada dalam senarai utama meskipun dia dicabar hebat beberapa penembak muda yang sedang meningkat naik.
Namun, masih tetap meletakkan sandaran terhadap atlet-atlet elit yang lebih berpengalaman.
Bukankah lebih wajar sekiranya negara terus memupuk atlet-atlet muda daripada peringkat akar umbi atau lebih senang jika menyenaraikan mereka dalam RTL 2012 agar tiba masanya kelak, mereka sudah bersedia untuk menggegar arena sukan antarabangsa.
Diminta mengulas mengenai situasi tersebut, Zolkples ada jawapan tersendiri yang dilihat lebih relevan.
Bagi beliau, sesetengah sukan memang tidak dinafikan memerlukan kudrat atlet-atlet muda manakala sesetengah lagi sukan menyaksikan pengalaman menjadi faktor terpenting terhadap kejayaan yang dilakar seseorang atlet itu.
"Macam olahraga, jika atlet itu beraksi dalam acara pecut, saya merasakan atlet-atlet yang berusia masih mampu untuk mencipta kemenangan kerana mereka hanya perlu berlari untuk tempoh 10 saat sahaja.
"Lainlah kalau acara jarak jauh yang pastinya memerlukan seorang atlet itu sentiasa bertenaga dan situasi ini memang memerlukan kudrat.
"Bukan kita tidak melahirkan atlet-atlet muda tetapi ambil contoh Mohd. Ariff Abdul Latiff dalam acara perseorangan badminton. Dia bukan baru tetapi sudah lima atau enam tahun namun sehingga kini masih bergelar pemain pelapis.
"Berbeza dengan China, mereka sudah mampu melahirkan jaguh-jaguh muda dalam acara badminton.
"Ketika ini, mereka memiliki Chen Long yang semakin meningkat naik. Dia telah menewaskan ramai pemain-pemain senior seperti Bao Chunlai dan Chen Jin dan prestasinya juga konsisten," kata Zolkples.
Biarpun badminton masih belum manampakkan tanda-tanda bakal ada pemain yang mampu menggantikan Chong Wei tetapi acara seperti berbasikal trek dan terjun memberikan sinar baru buat arena sukan tanah air.
Lihat sahaja Mohd. Azizulhasni Awang yang kini sudah bergelar jaguh dunia dalam acara basikal trek.
Meskipun baru berusia 23 tahun, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu membuktikan bahawa anak Malaysia juga mampu menakluki dunia menerusi acara sukan apabila menduduki ranking No. 1 dunia dalam acara keirin.
Begitu juga dengan atlet terjun muda negara, Pandelela Rinong yang namanya kini menjadi sebutan bagi merealisasikan harapan menggunung rakyat negara ini untuk melihat kontinjen Malaysia mengutip sebutir pingat emas di London.
Pelbagai kejayaan telah dikecapi Pandelela di pentas antarabangsa dan antara yang mencuri tumpuan adalah pingat perak yang dimenanginya pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.
Berdasarkan pencapaian yang dilakarkan Azizulhasni dan Pandelela itu, kedua-dua atlet tersebut membuktikan bahawa mereka sememangya layak disenaraikan dalam RTL 2012.
"Jika pada Sukan Olimpik 2004 di Athens kita meletakkan sandaran kepada Josiah Ng bagi membawa pulang pingat emas tetapi usaha ke arah itu masih gagal.
"Namun, kini kita sudah tidak perlu bimbang lagi kerana kita memiliki Azizulhasni. Peningkatan yang dipamerkan Azizulhasni sungguh menakjubkan dan dia lahir daripada program yang kita lakukan daripada peringkat akar umbi.
"Untuk Pandelela pula, memang sedikit sukar bagi dirinya untuk memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik tetapi saya percaya jika dia dapat mengekalkan prestasinya seperti sekarang tidak mustahil hasrat tersebut mampu dicapai," tambah Zolkples.
Badminton, berbasikal dan terjun sememangnya diletakkan sebagai sandaran utama bagi membawa pulang pingat emas pertama buat kontinjen negara namun jangan dilupakan terhadap empat lagi acara yang turut disenaraikan dalam RTL 2012 iaitu menembak, memanah, bola sepak dan hoki.
Bola sepak dan hoki memang terlalu sukar untuk dibicarakan mengenai peluang mereka meraih pingat apatah lagi bagi merangkul pingat emas.
Cukup sekadar kedua-dua acara tersebut layak secara merit ke temasya di London kelak.
Bagi acara menembak pula, peluang masih lagi terbuka jika dinilai berdasarkan prestasi semasa atlet-atletnya yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa sepanjang tahun lalu.
Nama-nama seperti Nor Suryani Taibi, Nur Ayuni Abdul Halim dan Bibiana Ng sebenarnya bukanlah nama asing lagi dalam sukan menembak tanah air.
Bila-bila masa sahaja atlet-atlet tersebut boleh menggegarkan arena menembak antarabangsa.
Buktinya cukup jelas apabila gandingan Suryani dan Ayuni dalam acara 10 meter rifle berjaya menjelmakan kilauan pingat emas pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India tahun lalu.
Meskipun pada awalnya terdapat ura-ura mengatakan acara memanah bakal digugurkan daripada RTL 2012 ekoran prestasi hambar pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2010 namun ternyata ia tidak benar sama sekali apabila ia tetap dikekalkan dalam program tersebut.
Acara memanah masih berpeluang untuk menunjukkan keupayaan sebenar apabila beraksi pada Kejohanan Dunia di Torino, Itali 3 hingga 10 Julai dan Kejohanan Asia di Tehran, Iran dari 17-24 Oktober depan.