Sunday, April 17, 2011

Penjajahan muzik Monoluque




INI baru titik mula! – Itu ikrar Monoloque setelah diberi peluang untuk melebarkan karya mereka buat pendengaran residen, imigran serta pelajar Malaysia di kota Eropah.


SESUATU yang agresif, jujur, segar tetapi menjunjung akar budaya sedang dibajak sang pemuzik bernama Loque. Dalam misi penaklukan semula, bekas ahli grup Butterfingers yang kini dijenamakan semula sebagai Monoloque itu sedang menggerakkan jentera.
Bukan selama ini dia kosong tanpa isi, tetapi setelah single Kekanda Adinda (bersama Atilia) dan Pelita yang dipadukan bersama API rancak menakluk telinga satu negara, Loque semakin diperhatikan. Sayapnya bersama Monoloque juga semakin berkembang, melayah dan melebar serta kalau boleh, bumi Eropah mahu ditawan.
“Bukan tujuan asal sayapun mahu pergi ke luar negara macam ke Eropah, tapi tawaran dan peluang yang datang tidak boleh ditolak. Kalau boleh, biarlah muzik Monoloque ini diterima di tanah sendiri dan Asia Tenggara dulu. Tapi peluang ke sana yang yang masuk dulu,” katanya seputar dalam usul kembara ke Eropah, Februari lalu hendak diperkatakan.
Bersama Kadax selaku bassis, Ijoo (gitaris), Loko (dram) dan Apex (keyboardis dan gitaris), Khairil Ridzwan Annuar, 33 atau Loque itu juga dalam proses pembikinan album terbaru mereka Halimunan Abad Ke-21.
Sepanjang lebih 15 tahun cergas dalam industri muzik, pemegang Ijazah Sarjana Muda Muzik Sintesis dan Komposisi dari Berklee College of Music di Boston, Amerika Syarikat (AS) beranggapan, ini tahun kemuncak dalam kariernya sebagai pemuzik.
Bakal tampil dengan album Monoloque pertengahan tahun ini, Loque berkongsi pengalaman berharga anak-anak muda yang dijemput ke empat lokasi luar untuk memperdengarkan muzik dan kekayaan budaya dan bahasa negara Malaysia. Misi mereka berantaian di empat lokasi dan kegigihan adalah kata kunci kepada perjalanan mereka ini.
Tawan empat lokasi Eropah
Tarikh 18 Februari 2011, grup Monoloque memulakan kembara mereka. Tempat ‘jajahan’ pertama adalah Copper Room 2, Warwick, United Kingdom.

MENGADAKAN persembahan di empat buah lokasi di kota Eropah sudah membuktikan kegigihan dalam jiwa Monoloque.


“Persembahan pertama ini bersempena dengan Malam Malaysia. Ramai pelajar Malaysia yang belajar di Universiti Warwick yang datang menyaksikan persembahan kami. Respons yang kami dapat sangat positif setelah membuat persembahan selama satu jam. Sebuah pengalaman yang tidak ternilai harganya,” bermula cerita Loque tentang penjelajahan Monoloque bersama Altimet yang ditaja oleh KNUKE dan Orang Kita.
Usai persembahan pertama yang sememangnya memberi getaran gemuruh dan pembakar semangat, mereka mengadakan persembahan kedua di Nottingham. Kali ini bertempat House of Coco Tang, mereka teruja dapat mengadakan persembahan di sebuah kelab yang santai di bawah tanah.
“Atmosfera kali ini sedikit berbeza kerana persembahan ini diadakan khas buat kami. Vibe yang diberikan oleh para penonton sangat bagus, malah sistem bunyi yang bagus juga menaikkan semangat kami untuk mengadakan persembahan.
“Khalayak yang datang memberi respons baik terutamanya untuk lagu Penghormatan Terakhir yang disusun semula gubahannya selain lagu Tiada Kata Secantik Bahasa, Gurindam Hutan Batu dan Jika Aku Seorang Robot,” ujar Loque yang berasa teruja menghirup udara yang sama dengan The Beatles.
Merakamkan setiap momen yang terjadi di negara orang, Loque memberitahu bahawa rakaman itu bakal dijadikan sebuah dokumentari buat tatapan khalayak terutamanya para peminat mereka. Sesuatu untuk dikongsi dan dipelajari bersama.
“Kami sempat ke Liverpool sebelum mengadakan persembahan di Dublin. Berjalan-jalan di kawasan yang mempunyai nilai sentimental berkaitan The Beatles. Melihat kawasan-kawasan luar bandar yang cukup menarik perhatian dan mendamaikan,”ujar Loque yang melawat Penny Lane yang cukup sinonim dengan grup The Beatles.
Udara Bono
Masuk ke pulau kelahiran vokalis U2 iaitu Bono, ketawa Loque bersilih ganti dengan penceritaannya. Dia teruja membayangkan bahawa dia sudah berada di tanah Bono dan menghirup udara yang sama dengan vokalis terkenal itu.

DARI kiri: Kadax, Ijoo, Loco, Loque dan Apex bakal muncul dengan sebuah video dokumentari berasaskan penjelajahan Monoloque di luar negara.


“Di Dublin kami tidak cukup rehat. Terus buat persembahan di sebuah kelab di sana. Ini merupakan persembahan yang paling ramai ditonton. Malah kami ditemuramah oleh stesem televisyen sana yang telah membuat kerja rumah tentang grup Monoloque dan Butterfingers.
“Ada seorang mak cik di sana yang meminta kami menyanyikan lagu Kekanda Adinda dan kami tunaikan. Bila minta dia nyanyi, dia malu-malu. Saya juga mahu mewakili rombongan mengucapkan terima kasih buat komuniti Orang Kita yang memberi layanan cukup istimewa buat kami di sana,” luah Loque terkenang saat manis di Dublin, Ireland.
Lokasi ke-empat dan terakhir dalam penjelajahan anak Malaysia ke negara rantau berakhir di London. “Ini markas utama. Kami main di Universiti College atau UCL, tempat yang sama Coldplay pernah mengadakan persembahan pada 25 Februari. Juga sempena Malam Malaysia dan kami mengadakan persembahan selama sejam,”ujar Loque yang cukup belajar pelbagai aspek dalam perjalanan kali ini.
“Ini adalah titik mula. Dengan empat lokasi ini membuktikan kami telah mendarat di negara penjajah. Harapan kami agar dapat tinggal dalam durasi yang lebih lama dan dapat bermain di konsert yang besar,” cerita Loque berantai yang berulang kali menyebut setiap momen adalah pengalaman sangat berharga buat anak-anak berjiwa seni yang hadir ke empat lokasi tersebut. Malah mereka juga sempat berkarya bersama-sama dan bersyukur dengan sifat gigih yang hadir dalam diri masing-masing.
“Saya melihat orang Malaysia melihat seni lebih kepada hiburan dan tidak membudayakan seni itu. Itu yang perlu kita perluaskan. Namun saya juga menafsirkan bahawa perkembangan muzik mahu pun seni kita semakin maju,” komen seorang anak muda yang penuh dengan semangat dan jiwa nusantara.