
MOHD. NAWAWI bergurau dengan Nur Hafiqah selepas ditemui semula di Kuantan semalam.
KUANTAN – Misteri kehilangan seorang kanak-kanak perempuan, Nur Hafiqah Zarissya Mohd. Nawawi dari sebuah kedai telefon bimbit milik keluarganya kelmarin akhirnya terungkai apabila dia dihantar pulang secara tergesa-gesa oleh sepasang suami isteri yang tidak dikenali semalam.
Terdahulu, ibu bapa kepada mangsa yang baru berusia setahun sembilan bulan itu percaya bahawa anak mereka telah diculik sebelum dipulangkan kembali dalam tempoh kurang 24 jam ke premis mereka di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang di sini.
Difahamkan, semasa kehilangan mangsa kira-kira pukul 7 petang kelmarin, ibunya, Azizah Dollah, 42, menyatakan dia meninggalkan anak bongsunya itu di premis berkenaan bersama menantu perempuannya, Noor Syatila Samsudin, 23, dan seorang lagi anaknya yang berusia 10 tahun untuk pulang sebentar ke rumahnya di Taman Seri Damai Perdana di sini.
Ketika kehilangan Hafiqah juga, Noor Syatila dikatakan langsung tidak menyedari kehilangan adik iparnya itu dan dia secara kebetulan telah menutup kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut.
Bapa Hafiqah, Mohd. Nawawi Deris, 42, ketika ditemui berkata, selepas anaknya dipulangkan, menantunya memberitahu bahawa pasangan suami isteri berusia lingkungan 30-an itu mendakwa mereka mengambil anaknya selepas melihat dia berkeliaran di kawasan berhampiran.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Hafiqah kembali ke pangkuan kami dalam keadaan selamat,” katanya di Ibu Pejabat Polis daerah Kuantan di sini semalam.