![]() |
SAIFULRUDDIN |
SHAH ALAM – Bekas Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) Yayasan Selangor, Mohd. Saifulruddin Sulaiman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tiga pertuduhan menerima suapan RM45,000 berhubung Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 yayasan itu tahun lepas.
Mohd. Saifulruddin, 32, dituduh melakukan kesalahan itu di antara 5 Oktober 2010 dan 11 November 2010.
Bagi tuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima rasuah dalam bentuk wang tunai RM20,000 daripada Pengurus Drift Z Enterprise, Husni Hirzi Abd. Rahim sebagai upah kerana membantu syarikat pengurusan acara tersebut dilantik mengendalikan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 yayasan itu.
Majlis berkenaan sepatutnya diadakan di Asrama Tun Dr. Ismail di Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada 15 November 2010, namun dibatalkan setelah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat untuk menghadirinya.
Tindakan Sultan Sharafuddin itu selepas mendapat tahu kos majlis tersebut melebihi RM300,000.
Saifulruddin didakwa melakukan kesalahan pertama tersebut di rumahnya beralamat No. 3, Jalan Platinum 7/43C, Seksyen 7, Petaling Jaya dekat sini pada pukul 8 malam, 5 Oktober 2010.