Wednesday, April 06, 2011

Berkat segulung benang



BUSANA pengantin berasaskan kain songket dan renda Perancis yang ditawarkan di butik Imma.


BERMULA dari duit 50 sen bagi membeli segulung benang, seorang pengusaha andaman berjaya membuka sebuah butik perkahwinan hasil duit titik peluhnya.
Siti Armah Md. Shahri, 36, atau lebih mesra dengan nama Imma berkata, bermula menjahit secara kecil-kecilan dia akhirnya berjaya membuktikan bahawa wanita sepertinya mampu membina perniagaan yang diberi nama Andaman dan Koleksi Imma.
Butik yang berpangkalan di Bandar Baru Permas Jaya, Masai, Johor itu baru saja dilancarkan pada 31 Disember lalu.
“Saya mula belajar menjahit sejak daripada anak dara lagi kerana saya minat dengan jahitan, tapi tak terfikir untuk membuka butik andaman,” kata ibu kepada empat orang anak itu.
Menurutnya, bagi memantapkan lagi hasil jahitan, dia sanggup mengambil kursus jahitan di Politeknik Johor Bahru selama enam bulan demi mencapai cita-citanya menjadi seorang usahawan muda.

SITI ARMAH (kiri) menunjukkan koleksi pakaian pengantin yang dihasilkan dalam pelbagai potongan dan warna.


Berkat ketekunan dan usaha yang berterusan, Siti Armah anak kelahiran Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi itu membuktikan dirinya mampu membuka sebuah butik idamannya.
Siti Armah berkata, kedainya bukan sekadar butik tetapi turut menjalankan pelbagai perkhidmatan berkaitan pertunangan dan perkahwinan.
Dia yang mendapat galakan daripada suaminya Othman Sabran, 43, berkata, orang ramai terutama bakal pengantin tidak perlu pening kepala apabila hendak melangsungkan perkahwinan kerana semuanya ada di sana.
Menurut Imma, butik andamannya turut menyediakan perkhidmatan andaman pengantin, gubahan hantaran, video dan fotografi, kanopi, sistem pembesar suara, DJ serta kompang.
Turut disediakan di koleksi Imma ialah tarian zapin, katering, jahitan pakaian, kelas jahitan dan sulaman.
“Semuanya ada di butik saya,” jelasnya.
SELAIN pakaian dan kanopi butik Imma turut menyediakan perkhidmatan pelamin.


Terdapat beberapa pakej istimewa sempena pembukaan butik andaman itu, antaranya pakej bertunang RM500 yang menyediakan baju bertunang perempuan, pelamin mini dan solekan.
Bagi pakej yang berharga RM600 pula, pihak perempuan akan disedikan sepasang baju persandingan, solekan, dandanan rambut atau tudung, bunga tangan, payung pengantin dan aksesori tanpa pelamin.
Sementara itu, bagi pakej perkahwinan pula disediakan pakej istimewa iaitu bermula dari RM2,000 hingga RM3,500 dan pakej dewan berharga RM4,500 hingga RM5,000.