Wednesday, April 06, 2011

Mercedes GP tekad tawan Litar Sepang




SCHUMACHER (kiri) dan Rosberg memberi pose istimewa ketika melawat Kompleks Petronas Penapisan (Melaka) Sdn. Bhd. di Sungai Udang, Melaka semalam.


SETELAH gagal menaiki podium pada perlumbaan pembukaan tirai Formula Satu (F1) 2011 – Grand Prix (GP) Australia bulan lalu, dua pemandu Mercedes GP, Michael Schumacher dan Nico Rosberg berazam menawan GP Malaysia hujung minggu ini.
Pada GP Australia di Litar Albert Park, Melbourne lalu, nasib malang menimpa juara dunia tujuh kali, Schumacher apabila gagal menamatkan perlumbaan selepas jenteranya mengalami masalah teknikal.
Rosberg juga ditimpa malang apabila turut gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabit dalam perlanggaran bersama pemandu Williams, Rubens Barrichello.
Bagaimanapun, Schumacher mengharapkan tuah akan memihak kepadanya dan pasukan Mercedes GP di Litar Sepang, sekali gus menebus kehampaan yang diharungi mereka pada GP Austra- lia.
“GP Malaysia adalah peluang terbaik untuk saya bangkit dan membuktikan saya adalah antara pelumba F1 terbaik dunia. Ini adalah permulaan buat saya memperbaiki kedudukan musim lalu.
“Saya tetap dengan azam untuk menaiki podium di Sepang tetapi jika gagal lagi, setidak-tidaknya saya ingin mengutip mata untuk pasukan saya,” kata Schuma- cher selepas melakukan lawatan singkat di Kompleks Petronas Penapisan (Melaka) Sdn. Bhd. di Sungai Udang, Melaka semalam.
Pada lawatan tersebut, Schumacher dan Rosberg beramah mesra dan menyer- tai kuiz dengan kira-kira 134 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, SK Tangga Batu dan SK Pantai Kundor menerusi program Bakti Petronas.
Menyedari bakal mendapat sokongan padu daripada peminat tempatan, Schu- macher, 42, jelas bersemangat bagi memburu kejayaan kali ini.
“Musim lalu saya kembali daripada persaraan tetapi agak malang kemunculan semula saya tidak menghadirkan sebarang kejayaan menaiki podium,” katanya yang bersara pada musim 2007 hingga 2009.
Schumacher menambah, dia tidak mahu terus tercicir daripada pemburuan gelaran dunia dan berhasrat untuk bangkit memberi saingan sengit bagi memastikan Mercedes GP sehebat Red Bull, Ferrari, McLaren dan Lotus Renault.
Rosberg pula berkata, dia akan cuba se- kurang-kurangnya untuk mempertahankan kedudukannya ketika menduduki tempat ketiga di Litar Sepang musim lalu.
“Saya tidak berani mera- malkan apa-apa kerana saingan tahun ini saya lihat begitu mencabar serta sukar untuk diramalkan.
“Bagaimanapun, saya akan berusaha untuk terus berada di podium pada GP Malay- sia,” katanya.