Wednesday, April 06, 2011

Bergelap demi mesej murni



PERSEMBAHAN hiburan oleh Tugu Drum Circle dan beberapa artis tempatan lain telah sama-sama memeriahkan acara bergelap di ibu negara 26 Mac lalu.


KEPEKATAN langit malam dan kerdipan bintang-bintang menemani ratusan sang pencinta alam di Forest in the City, Rooftop Garden, pusat beli-belah Lot 10, Kuala Lumpur pada 26 Mac lalu.
Kehadiran pencinta alam itu secara beramai-ramai di bumbung bangunan itu adalah untuk menyahut seruan kempen Earth Hour 2011 anjuran YTL Corporation dalam usaha mengurangkan fenomena pemanasan global.
Tatkala jarum jam menunjukkan pukul 8.30 malam, suasana di sekitarnya yang sebelum itu terang-benderang berubah wajah menjadi gelap-gelita. Ia menunjukkan sokongan padu pencinta alam itu terhadap kempen Earth Hour.
Mereka tidak mahu ketinggalan bersama jutaan masyarakat dunia dan tempatan dalam merealisasikan impian kempen Earth Hour yang antara lain berusaha mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida tahunan sebanyak lima peratus, sekali gus mengawal fenomena pemanasan global.
Kempen yang mula digerakkan oleh Tabung Hidupan Liar (WWF) Australia itu telah dilaksanakan buat pertama kali melibatkan hanya bandar raya Sydney, Australia pada Mac 2007. Ia seterusnya mendapat sambutan hangat daripada masyarakat dunia sehingga hari ini.
Naib Presiden YTL Hotels dan YTL Land, Joseph Yeoh berkata, terdapat segelintir pihak yang mempersoalkan tujuan dan hasil kempen Earth Hour.
“Ada yang mendakwa sambutan yang dilakukan sempena Earth Hour akan menyebabkan lebih banyak pencemaran udara dan pengeluaran karbon dioksida sekali gus bertentangan dengan semangat kempen ini.
“Bagaimanapun, hakikatnya apabila kita bersatu bersama berbilion penduduk global, kami percaya kepentingan Earth Hour terletak pada mesejnya iaitu untuk menunjukkan setiap individu mempunyai kuasa untuk mengubah dan secara bersatu dapat melakukan perubahan,” katanya.
Dalam kempen Earth Hour tersebut, orang ramai turut menyalakan lilin sambil dihiburkan kumpulan Tugu Drum Circle dan beberapa artis tempatan seperti Reza Salleh, Narmi serta Diandra Arjunaidi.
Usaha YTL dalam melindungi alam sekitar telah berkembang sejak sedekad lalu termasuk memberi dana kepada kumpulan pemuliharaan alam sekitar, menyokong penyelidikan dan pembangunan untuk teknologi hijau dan banyak lagi.