
KUM CHOY (kiri) dan Norisam (bertutup kepala) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas dakwaan mengedar dadah.
SHAH ALAM - Seorang penganggur dan seorang pemandu teksi dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah mengedar kanabis seberat 4,749 gram dua tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak menjatuhkan hukuman ke atas Norisam Akram Mullah, 39, dan Lee Kum Choy, 46, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.
Dalam penghakimannya, Mohd. Sofian berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dengan menyangkal kesemua kenyataan kedua-dua tertuduh.
“Keterangan yang diberikan mereka adalah penafian semata-mata. Sebenarnya mereka ada niat dan persetujuan bersama atas milikan dan jagaan terhadap beg plastik tersebut (mengandungi dadah),” katanya.