Wednesday, April 06, 2011

Murid lemas dalam parit




MUSMAN menunjukkan lokasi Mohd. Hasrul (gambar kecil) ditemui mati lemas selepas tergelincir ke dalam parit di Parit Ulu Semerah, Muar kelmarin.


MUAR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun lemas selepas tergelincir ke dalam parit sedalam satu meter di hadapan rumahnya di Parit Ulu Semerah, Air Hitam di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, Mohd. Hasrul Hafiq Mohd. Norman sedang bermain di tebing parit tersebut dengan dua sepupunya, Muamar Safwan Shahri, 6, dan Mohd. Asraf Shahranizam, 4.
Mayat anak bongsu daripada tiga beradik kepada pasangan Mohd. Norman Waki, 44, dan Norizah Miskam, 40, itu ditemui oleh penduduk kampung tidak lama selepas gerakan mencari dilakukan.
Menurut seorang penduduk, Musman Ahmad, 48, dia turun ke dalam parit bersama rakannya, Miskan Kusno, 61, bagi mencari mangsa sebaik diberitahu oleh ibu Mohd. Hasrul.
“Setelah mencari di bahagian yang agak dalam, saya menemui mangsa di dasar parit itu tetapi dia sudah tidak bernafas lagi,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Ibu saudara mangsa, Norini Abdullah Sani, 42, pula berkata, dia terkejut apabila anaknya, Muamar Safwan datang dalam keadaan menangis memberitahu mangsa jatuh ke dalam parit.