![]() |
Peserta menjawab soalan sebelum ke hentian seterusnya. |
TOKOH astronomi lampau seperti Galileo Galilei, Isaac Newton dan Johannes Kepler mengakui bahawa penciptaan alam semesta sebenarnya telah dijadikan Allah hasil kajian dan pemerhatian mereka sendiri.
Penemuan paling menakjubkan dalam sejarah astronomi ini dilakukan oleh Edwin Hubble pada tahun 1929. Setelah letupan itu berlaku, semua benda di alam semesta bergerak menjauhi masing-masing. Kesimpulannya, didapati alam semesta ini semakin mengembang.
Inilah bukti kekuasaan Allah SWT yang perlu difikirkan oleh manusia agar mensyukuri nikmat yang diberikan-Nya kepada seluruh makhluk. Manusia yang sengaja menolak kebenaran yang telah ditunjukkan Allah SWT akan diazab dengan dahsyatnya di dalam neraka.
Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan; yang demikian adalah sangkaan orang-orang kafir! Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir itu dari azab neraka. (as-Sad: 27)
Oleh yang demikian, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan dengan kerjasama Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Masjid Negara menganjurkan Program Kembara Menghayati Ciptaan Allah pada 27 Mac lalu di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur.
Penyelaras Program, Muhammad Farhan Tee Abdullah berkata, ia untuk melahirkan rasa kesyukuran dalam setiap diri peserta dan urus setia terhadap ciptaan Allah SWT di kawasan tersebut.
Selain itu, ia bagi mengeratkan ukhuwah di kalangan peserta agar berkenal-kenalan dengan rakan baru.
"Program itu turut mencorakkan konsep 'Islam Itu Persaudaraan' dengan melibatkan peserta daripada pelbagai kaum dan negara. Pertandingan ini berkonsepkan pertandingan penjelajahan atau explorace," kata beliau.
Seramai 350 orang menyertai program itu yang terdiri daripada saudara Muslim tempatan dan luar negara, pelajar Asrama Darul Falah Perkim (ASDAF), Kelab Perkim Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Petaling Jaya (PAUIAPJ), kakitangan pertubuhan dan masyarakat awam.
Pertandingan dimulai dengan sesi pendaftaran di ruang legar pejabat Islamic Outreach ABIM dan Masjid Negara.
Setiap kumpulan perlu diwakili seramai lima ahli. Terdapat 10 hentian yang perlu dilalui peserta untuk menjawab soalan yang disediakan.
Setelah itu, peserta diberi taklimat oleh Penyelaras Anjuran Bersama dari Islamic OutreachABIM, Latif Tozan.
Pengarah Dakwah Perkim Kebangsaan, Abdul Hanif Harun bersyukur kerana program itu mendapat sambutan menggalakkan.
"Tujuan kita menganjurkan program ini adalah bagi manfaat semua pihak dalam usaha mencari keredaan Allah SWT," katanya.
Sebelum pertandingan dimulakan, Imam Masjid Negara, Azhar Tuarno membacakan doa selamat agar setiap perjalanan program dirahmati dan dilindungi daripada kejadian yang tidak diingini.
Peserta kemudiannya dilepaskan mengikut kumpulan. Ia dilakukan oleh Abdul Hanif dan Azhar.
Di setiap perhentian, peserta dikehendaki menjawab soalan oleh penjaga perhentian. Ia berkisar dengan Islam seperti solat, wuduk, rukun iman dan Islam, hikmah penciptaan dan sebagainya.
Sambil peserta menjawab soalan di setiap perhentian, mereka turut menikmati keindahan alam di Taman Tasik Perdana. Ada di antara mereka mengambil gambar di kawasan yang cantik dan menarik.
Melalui kawasan ini secara tidak langsung menggambarkan kehebatan Maha Pencipta yang sebenar. Keunikan hutan hujan tropika di situ juga memberi satu sifat rendah diri selaku kemampuan manusia sebagai hamba-Nya.
Akhlak mulia ini membawa peserta agar lebih mensyukuri dan menghayati ciptaan Allah SWT agar tidak disia-siakan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya (riwayat at-Tirmizi)."
Setelah sampai ke garisan penamat, para peserta diberi masa berehat sementara menunggu ketibaan kumpulan lain.
Selepas semua peserta berkumpul, Latif Tozan memulakan permainan kuiz Islam. Kuiz ini menyentuh aspek asas-asas dan fardu ain mengenai Islam.
Majlis diserikan lagi dengan acara penyampaian hadiah saguhati dan pemenang Kembara Menghayati Ciptaan Allah kepada 22 kumpulan pemenang hadiah saguhati, pemenang tempat ketiga, kedua dan pertama.
Seorang peserta, Nor Amalin Kee, 23, gembira kerana dapat menambah ilmu melalui program itu.
"Bagaimanapun, saya berharap soalan itu dimudahkan selain disediakan dalam pelbagai bahasa untuk memudahkan Saudara Muslim," katanya yang memeluk Islam tahun lalu.
Peserta dari ASDAF Perkim, Tina Angah, 15, pula menyifatkan program ini bermanfaat dalam mengeratkan hubungan sesama saudara Islam.
"Saya berharap program seumpama ini diadakan lagi supaya dapat menarik minat khususnya saudara Muslim agar mengisi masa yang terluang dengan aktiviti berfaedah," jelasnya yang berasal dari Kampung Orang Asli Balar, Gua Musang, Kelantan.