Thursday, April 07, 2011

Ramalan Red Bull




VETTEL muncul juara pada perlumbaan GP Australia di Litar Albert Park, Melbourne dua minggu lalu.


SEPANG - Ketua Red Bull, Christian Horner memberi amaran kepada pasukannya supaya tidak memandang mudah perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Malaysia hujung minggu ini.
Sebaliknya, Horner menasihati seluruh krew pasukannya supaya lebih bersedia untuk berdepan kebangkitan pencabar utama mereka, Ferrari dan McLaren.
Pemandu sensasi Red Bull, Sebastian Vettel memenangi saingan pembukaan tirai 2011 - GP Australia dua minggu lalu, sekali gus menyebabkan pasukan lain mula meningkatkan prestasi untuk mengejar kedudukan mereka.
Namun, Horner percaya perlumbaan di Litar Albert Park, Melbourne itu bukan petanda sebenar tentang apa yang bakal dikecapi mereka Ahad ini.
Sebaliknya, dia menramalkan pemandu Ferrari, Fernando Alonso dan dua pemandu McLaren, Jenson Button dan Lewis Hamilton akan mempamer keupayaan sebenar mereka di Litar Sepang nanti.
"Sesiapa saja yang fikir bahawa kami sudah selesa di depan sebenarnya telah membuat satu kesilapan besar," kata Horner.
"Ferrari dan McLaren sudah pasti tidak mahu ketinggalan dalam persaingan dan mereka akan mencuba sedaya upaya untuk memberi saingan yang kompetitif setakat yang mampu.
"Kami kini bakal berdepan saingan yang amat sukar dan sangat kompetitif," jelasnya.
Musim ini, Red Bull sekali lagi tampil sebagai pasukan pilihan selepas mereka menjuarai kategori pemandu dan pengeluar musim lalu.
Pada GP Australia lalu, Vettel yang juga juara dunia tampil bergaya apabila menawan Litar Albert Park manakala rakan sepasukannya, Mark Webber pula di tempat kelima.
"Mark sangat kecewa dengan pencapaiannya di Melbourne tetapi kami telah menemui beberapa perkara yang perlu diperbaiki di jenteranya dan saya rasa dia akan kembali memberi saingan," kata Horner. - AFP