Thursday, April 07, 2011

Satu negeri ada satu velodrom




VELODROM Kuala Lumpur di Cheras merupakan salah satu daripada dua velodrom yang terdapat di Malaysia.


KETUA jurulatih skuad trek berbasikal negara, John Beasley berhasrat untuk menjadikan basikal sebagai salah satu sukan paling popular di Malaysia.
Bagaimanapun, Beasley menjelaskan bahawa untuk merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan harus membina sebuah velodrom yang dilengkapi kemudahan asas di setiap negeri.
Ini kerana, jelasnya, kemudahan infrastruktur tersebut adalah perkara paling penting dalam menjamin kesinambungan sukan basikal yang sudah mula membuahkan kejayaan di pentas antarabangsa.
“Masalah utama yang kita hadapi ketika ini ialah tidak mempunyai banyak infrastruktur sukan,” kata Beasley ketika majlis sambutan ulang tahunnya yang ke-49 di Kuala Lumpur semalam.
“Kita telah membentuk program di peringkat antarabangsa yang berjaya, kita mempunyai velodrom yang sedia ada seperti sekarang dan kita juga ada rancangan baru untuk menubuhkan satu pusat kecemerlangan di setiap negeri.
“Tetapi, kita hanya ada dua velodrom sahaja ketika ini tidak seperti bola sepak, hoki dan olahraga yang mempunyai beberapa gelanggang di setiap negeri.
“Oleh itu, saya sedang berusaha untuk memastikan supaya setiap negeri di Malaysia mempunyai satu velodrom asas (yang murah dibina) supaya kita dapat mencungkil bakat baru di peringkat akar umbi.”
Menurut Beasley, pembinaan velodrom asas yang tidak menelan kos besar adalah penting dalam memastikan nama Malaysia terus digeruni dalam arena basikal di peringkat antarabangsa.
“Untuk menjadikan sesuatu sukan itu lebih berjaya, kita perlu mempunyai lebih banyak infrastruktur, bagaimana kita mahu maju kalau tiada banyak infrastruktur terutamanya di peringkat akar umbi?
“Memang ia satu cabaran untuk membina velodrom di setiap negeri dan ia juga satu cabaran kepada saya serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk memastikan sukan ini terus berkembang di negara ini,” kata jurulatih dari Australia itu lagi.
Beasley turut menambah bahawa semua program juga akan disusun semula dalam usaha meningkatkan lagi potensi kejayaan di peringkat antarabangsa serta memperkasakan usaha melahirkan pelumba-pelumba baru di peringkat akar umbi.
“Buat masa ini, kami sedang menyusun semula program yang telah dirancang sebelum ini. Kami juga akan bermesyuarat pada Jumaat ini untuk membincangkan semula program tersebut.
“Rancangan kami ialah memastikan program kali ini lebih bagus dan berpotensi dengan melibatkan setiap negeri, menyusun semula tugas-tugas jurulatih dan saya harap semua itu dapat dibuat dalam masa terdekat nanti.
“Apa yang saya mahukan ialah penglibatan sekolah-sekolah dalam sukan ini. Kami akan tubuhkan pusat kecemerlangan di setiap negeri tetapi setiap negeri perlulah mempunyai velodrom.
“Ia akan menjadi satu cabaran kepada kami untuk memastikan struktur ini berada di landasan yang betul. Saya rasa kita boleh berjaya jika rancangan ini berjaya diteruskan,” katanya.
Ketika ini, Malaysia memiliki dua velodrom iaitu Velodrom Kuala Lumpur di Cheras dan Velodrom Rakyat di Ipoh.