Thursday, April 07, 2011

KOAM sedia terima Zafril




ZAFRIL menyumbang pingat emas pada Sukan SEA 2007 dan 2009.


KESATUAN Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) tidak akan terus ‘menutup pintu’ buat Mohd. Zafril Mohd. Zuslaini.
Sebaliknya, KOAM bersedia menerima Zafril sekiranya jaguh acara 400 meter itu mahu kembali mewakili negara di pentas antarabangsa.
Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim berkata, jika Zafril mengubah fikirannya dan membuat keputusan untuk kembali mewakili Malaysia, badan induk tersebut sedia menerima atlet itu dengan tangan terbuka.
“Zafril merupakan seorang atlet yang wajar dicontohi dari segi kerja keras serta semangatnya yang tidak mudah putus asa dalam usaha mengharumkan negara di pentas antarabangsa.
“Sukar untuk kita temui atlet sama seperti Zafril. Disebabkan itu, jika dia mahu kembali (mewakili Malaysia), kami bersedia menerimanya semula.
“Lagi pula kami tidak ada apa-apa masalah dengan Zafril dan begitu juga dirinya,” kata Karim di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Kelmarin, Zafril telah mengumumkan untuk bersara selepas menerima Anugerah Kilauan Bintang bagi atlet lelaki yang mencapai prestasi tinggi pada Majlis Anugerah Gemilang Olahraga Pahang 2011 di Kuantan.
Difahamkan, keputusan yang dibuat Zafril itu adalah bagi memberi tumpuan membantu perniagaan milik bapanya.
Zafril merupakan pemenang pingat emas pada temasya Sukan SEA 2007 dan 2009.
Ketiadaan Zafril mula mencetuskan persoalan siapakah atlet yang layak bagi mengisi kekosongan tempatnya.
“Kami tidak bimbang dengan situasi tersebut kerana ada beberapa atlet lain yang dilihat berpotensi besar bagi menggantikan Zafril.
“Antaranya, P. Yuvaraj, Mohd. Yunus Lasaleh dan Mohd. Fairol Nazim. Jika terus diberikan bimbingan yang secukupnya, saya percaya mereka mampu mempertahankan pingat emas yang dimenangi Zafril itu,” jelas Karim.