Thursday, April 07, 2011

Resipi keluarga rahsia kejayaan





PEMILIHAN makanan berkualiti dan ideal pada harga yang berpatutan ketika melangsungkan majlis perkahwinan pasti menjadi agenda utama bagi keluarga pasangan mempelai.
Setiap majlis perkahwinan yang hendak dilangsungkan tentunya terasa tidak sempurna tanpa hidangan makanan yang menarik, sedap dan memenuhi cita rasa tetamu jemputan.
Lebih menggelisahkan adalah sekiranya hidangan tersebut membuatkan para tetamu yang hadir mengalami sakit perut, cirit-birit atau keracunan makanan.
Semua itu adalah dilema dan tanggungjawab tuan rumah serta pihak yang diamanahkan untuk menyediakan makanan. Ia mempunyai kaitan dengan cara dan proses penyediaannya.
“Di Sri Angsana, selain menawarkan harga makanan kenduri kahwin yang murah, kami tidak mengetepikan soal kualiti dan kebersihan dalam menyediakan sesuatu makanan yang dipesan pelanggan.
“Saya sendiri akan pastikan setiap bahan makanan dan masakan yang diproses oleh pekerja mengikut paras mutu yang ditetapkan,” kata Pengasas Sri Angsana Canopy dan Caterer, Nurulhuda Yaacob, 39.
Menurut Nurulhuda, menu makanan yang disajikan Sri Angsana kebanyakannya berasal dari resipi istimewa istana Johor dan rempah-ratus yang digunakan pula terdiri daripada rempah-ratus terpilih dari negeri tersebut.
“Sri Angsana mendapat bekalan rempah-ratus dari seorang pembekal utama di Johor. Sebulan sekali, sebanyak 400 kilogram rempah-ratus akan kami beli daripada pembekal tersebut.
“Rempah-ratus itu dibuat sendiri oleh pak cik saya yang merupakan pakar dalam menghasilkan rempah ratus untuk masakan kenduri masyarakat Johor. Salah seorang pak cik saya pernah menjadi tukang masak di istana negeri,” katanya yang enggan mendedahkan isi kandungan rempah ratus tersebut.
Bermula dengan perniagaan sewa kanopi, Nurulhuda kini boleh berbangga kerana syarikat yang diasaskannya bersama suami, Mohd. Ashrin Alias, 43, kini berkembang dan turut menawarkan perkhidmatan katering dan pakej perkahwinan yang berkualiti pada harga berpatutan.
Gabungan kemahiran

NURULHUDA menunjukkan beberapa contoh hidangan makanan Sri Angsana Caterer untuk majlis perkahwinan atau keraian tertentu.


Pasangan suami isteri itu memiliki latar kemahiran dan bakat yang berbeza iaitu kepandaian dalam bidang masakan dan perniagaan.
Hasil gabungan kedua-duanya ternyata berbaloi kerana mereka berjaya menubuhkan perniagaan keluarga yang bernaung di bawah Sri Angsana Canopy & Caterer di sebuah bangunan tiga tingkat yang diberi nama Wisma Sri Angsana di Taman Nirwana, Ampang, Selangor.
Mengimbas detik permulaannya, bisnes yang turut disertai adik Ashrin, Mohd. Azlan, sebagai pemilik bersama itu diasaskan pada tahun 1996 di Pandan Indah, Kuala Lumpur dengan hanya menyediakan perkhidmatan menyewa kanopi untuk majlis-majlis perkahwinan.
Selepas setahun, Mohd. Ashrin dan isteri membuat keputusan memulakan perniagaan katering kerana mendapat banyak galakan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.
Tambahan pula, Nurulhuda yang berasal dari Johor mempunyai minat dan kemahiran yang tinggi dalam menyediakan masakan tradisi negeri.
“Pada awalnya, kami hanya menggunakan sebuah rumah lot tepi di Pandan Indah untuk kerja-kerja memasak serta tidak mempunyai pejabat seperti sekarang,” jelas Mohd. Ashrin sambil memberitahu, mereka berpindah ke Wisma Sri Angsana sejak tahun 2007.
Mengakui perniagaan mereka bermula perlahan, Mohd. Ashrin berkata, permintaan untuk perkhidmatan katering tidak begitu mendapat sambutan sekitar awal 1990-an.
“Hidangan yang kami sediakan adalah resipi keluarga seperti nasi beriani, nasi bukhari, nasi hujan panas dan pelbagai lauk-pauk.
“Sebelum ini, kami terkenal dengan identiti lauk rendang daging. Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kami beralih kepada lauk daging masak hitam, daging kambing masak kuzi dan lauk-lauk lain yang beridentitikan Johor,” katanya yang juga menerima permintaan pelbagai jenis masakan lain mengikut kehendak pelanggan.
Tambah Nurulhuda, bagi mengekalkan rasa dan keenakan makanan, dia dan suami akan memasak sendiri setiap hidangan yang ditempah walaupun mempunyai 30 orang kakitangan untuk tugas-tugas di dapur.
Elemen penting
“Walaupun mempunyai kedudukan yang selesa ketika ini, saya tidak akan membiarkan orang lain memasak setiap hidangan.
“Saya percaya air tangan merupakan elemen penting bagi setiap masakan. Tambahan pula, resipi ini adalah warisan turun-temurun,” ujar Nurulhuda yang mempunyai 300 kakitangan sepenuh masa dan sambilan.
Jelasnya lagi, dengan memasak sendiri, operasi perniagaan mereka akan lebih lancar kerana tidak timbul isu tukang masak berhenti kerja atau tidak komited terhadap tugas mengetuai dapur.
PENGURUSAN kelengkapan dapur yang tersusun dan bersih adalah antara kod wajib di premis penyediaan makanan Sri Angsana.


“Sekarang ini, setiap bulan sepanjang tahun ini kami sudah mempunyai tempahan majlis perkahwinan untuk diuruskan. Hinggakan pada musim puncak, dalam seminggu kami perlu bertungkus-lumus untuk memenuhi tempahan bagi 30 majlis perkahwinan.
“Begitupun, dalam sehari, kami mampu memasak tempahan makanan untuk 12,000 hingga 15,000 orang jemputan sahaja. Tempahan majlis hanya dihadkan untuk hari Sabtu dan Ahad,” katanya yang turut mendapatkan semua bahan mentah dari pembekal secara pukal dengan harga rendah.
Untuk itu, terang Nurulhuda, sebanyak dua tan ayam, daging, beras dan barang mentah lain dibeli terus dari pemborong setiap minggu.
“Kami dapat beli barang mentah pada harga murah dari pemborong kerana kami bayar secara tunai kepada pemborong dan mereka selesa dengan cara begitu.
“Kami tidak mahu berhutang dengan pemborong kerana jika itu berlaku, pemborong akan cenderung untuk menaikkan harga barang sesuka hati dan ia mempengaruhi kelancaran perniagaan kami,” katanya.
Pakej istimewa Sri Angsana dimulakan pada tahun 2010 dengan menawarkan pakej perkahwinan percuma bagi setiap tempahan katering berharga RM12.80 seorang dengan jumlah tempahan minimum sejumlah 1,000 orang jemputan.
“Dinamakan Pakej Tiga, selain hidangan makanan untuk tetamu, pelanggan akan menerima percuma set kanopi, kek pengantin tiga tingkat, hiasan meja, makanan pengantin, bunga segar, set pelamin, sepasang pakaian pengantin, solekan dan pelayan beruniform.
Sementara itu, terdapat juga Pakej Satu dan Dua yang masing-masing berharga RM8.80 dan RM10.80 sekepala dengan minimum 1,000 jemputan. Pakej tersebut menawarkan menu makanan berlainan dan tawaran percuma yang sama dengan Pakej Tiga tetapi tidak termasuk set pelamin, solekan serta pakaian pengantin,” kata Nurulhuda.
Sejurus memperkenal pakej istimewa tersebut, Nurulhuda dan suami tidak menang tangan menerima dan menguruskan tempahan majlis perkahwinan.
“Sebenarnya, apa yang kami perkenalkan ini (pakej istimewa) sebagai satu tanggungjawab sosial dalam mengetengahkan amalan tolong-menolong.
“Melalui pakej ini, semua masyarakat kelas rendah juga mampu untuk mengadakan majlis perkahwinan yang mereka idam-idamkan dalam suasana gilang-gemilang,” ujarnya.