![]() |
ADEBAYOR (kiri) berhasrat untuk menjadi pemain tetap di Real selepas meledakkan dua gol ketika menang 4-0 ke atas Tottenham Hotspur awal pagi semalam. |
MADRID - Real Madrid kembali pada prestasi terbaik selepas membelasah Tottenham Hotspur 4-0 pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Santiago Bernabue awal pagi semalam.
Penyerang antarabangsa Togo, Emmanuel Adebayor dijulang sebagai wira apabila meledakkan dua gol seawal minit keempat dan ke-57.
Dua lagi gol disumbangkan oleh Angel Di Maria pada minit ke-72 sebelum bintang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo melengkapkan kemenangan skuad The Galaticos hasil jaringannya minit ke-87.
Ternyata, Real yang kini di bawah kendalian Jose Mourinho tidak mempersia-siakan segala kelebihan yang dimiliki ketika beraksi di laman sendiri.
Lebih memburukkan keadaan, penyerang Spurs, Peter Crouch diarah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua ketika permainan baru berlangsung 15 minit.
Crouch dilayangkan kad kuning pertama selepas dia mengkasari Sergio Ramos sebelum sekali lagi menjatuhkan Marcelo.
"11 menentang 10 dalam situasi seperti ini, ia adalah suatu yang mustahil untuk mencatat kemenangan.
"Namun, saya tidak mahu memandang rendah kemampuan Spurs kerana mereka sudah pastinya akan berjuang berhabis-habisan pada aksi suku akhir kedua nanti.
"Mereka memiliki tahap keyakinan yang cukup tinggi dan beraksi di White Hart Lane bukan suatu yang mudah.
"Setakat ini, kami (Real) masih belum pernah tewas sepanjang saingan Liga Juara-Juara musim ini dan kami akan cuba melakukan yang terbaik bagi mendapatkan keputusan positif apabila berkunjung ke White Hart Lane nanti," jelas Mourinho.
Sementara itu, pengurus Spurs, Harry Redknapp ternyata kecewa dengan tindakan yang dilakukan Crouch kerana pemain itu diarah keluar padang terlalu awal.
"Saya sangat kecewa. Itu bukan suatu yang kami (Spurs) mahukan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain terlalu awal.
"Dia (Crouch) tidak sepatutnya bertindak sedemikian dan ia memang tidak boleh diterima," kata Redknapp.
- Reuters