
TYRANNOSAURUS REX antara dinosaur ganas yang turut ‘mengamuk’ di Pusat Sains Negara.
MELANGKAH ke Pusat Sains Negara (PSN), Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini membuatkan penulis berasa sangat teruja dan berfikir untuk kembali semula ke situ bersama keluarga dan rakan-rakan.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1996, bangunan empat tingkat yang terletak di kawasan seluas 5.7 hektar itu memang tidak pernah putus daripada menganjurkan aktiviti-aktiviti menarik menerusi sembilan buah galeri pamerannya.
Ia termasuk pameran bertema yang dijalankan secara berkala melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan dan juga antarabangsa.
Sejak PSN mendapat sentuhan pengarahnya yang baru tahun lalu, Prof. Madya Irmawati Ramli ia berubah menjadi lebih ceria dan penuh dengan program menarik sekali gus berjaya menarik lebih ramai pengunjung ke situ.
Hadir sebagai institusi pembelajaran tidak formal, PSN menyasarkan golongan pengunjung daripada kalangan pelajar-pelajar sekolah, institusi pendidikan dan juga profesional.
Selain mengetengahkan pendekatan santai, PSN turut dilengkapi kandungan bahan pameran interaktif yang mampu merangsang minat pengunjung di samping menawarkan pengalaman merasai sendiri fenomena saintifik secara holistik.
Seorang pengunjung dari Johor, Azhar Surahman, 38, yang pertama kali datang ke PSN berkata, beliau berasa teruja dengan aktiviti yang disediakan di PSN.
“Bahan pameran dan aktiviti yang disediakan pengurusan PSN sangat bagus dan membuka minda sekali gus memberi ilmu pengetahuan kepada anak-anak serta ibu bapa yang datang ke sini.
“Cara persembahan bahan pameran sangat menarik untuk mengajak pengunjungnya berfikir mengenai sains malah, setiap pameran sangat berkait rapat dengan kehidupan harian kita,” katanya ketika ditemui di PSN baru-baru ini.
Seorang suri rumah, Nor Huda Mokhtar, 32, memberitahu pendekatan santai bersahaja yang diketengahkan PSN untuk dirasai pengunjung sangat mengagumkan sehingga ia mampu membuat sesiapa sahaja berfikir mengenai sains dalam kegiatan sehariannya.

PANCAINDERA pengunjung seperti mata, telinga dan sentuhan dirangsang untuk membolehkan bahan pameran lebih interaktif.
Tambahnya, sejurus dia dan keluarga melangkah masuk melalui terowong akuarium ke ruang pameran mereka seolah-olah melangkah ke alam lain fantasi yang penuh dengan permainan dan gajet sains untuk diterokai.
“Pada bulan ini di PSN ada aktiviti pameran Dinos Alive yang telah diadakan sejak 1 Disember lalu. Orang ramai dapat melihat secara dekat 32 ekor dinosaur reptilia yang pernah wujud di muka bumi kira-kira 162 juta tahun dahulu.
“Lebih menakjubkan kesemua 32 ekor dinosaur tersebut ‘hidup’ dan pasti akan mengancam setiap pengunjung yang datang,” katanya yang turut kagum dengan ngauman ngeri spesies Tyrannosaurus Rex atau T-Rex yang boleh didengar hingga ke luar pusat pameran.
Seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Lee Ah Seng, 43, yang datang ke PSN bersama ahli keluarga dan saudaranya itu turut terkejut dengan ngauman kuat dinosaur yang kedengaran di segenap ruang pameran di PSN.
Dinosaur robotik
Apa yang menakjubkan lagi kata Ah Seng, semua 32 dinosaur yang ditampilkan di PSN itu seolah-olah hidup kerana ia digerak menggunakan kaedah robotik.
Kesemuanya dibina berdasarkan saiz dan struktur badan menyerupai haiwan itu yang sebenar.
Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga pasti akan teruja dengan elemen nilai tambah yang dilengkapkan pada setiap dinosaur seperti pergerakan mekatronik dan kesan suara serta semburan asap.

APATOSAURUS merupakan dinosaur yang mempunyai leher panjang dan hidup di anatara 154 hingga 150 juta tahun lalu.
Sementara itu, Irmawati pula memberitahu, PSN kini menyajikan lebih banyak aktiviti yang merangsang, menarik dan menggalakkan pelawat mencintai sains dan teknologi.
Katanya, aktiviti yang disediakan akan berubah-ubah mengikut keadaan semasa.
“Berkeluasan 6,717.6 meter persegi, PSN yang sebelum ini hanya mempunyai enam galeri pameran kini bertambah kepada sembilan galeri sains yang lebih interaktif.
“Galeri baru itu antaranya Kids Discovery Place!, Energy World dan Kidz World serta yang terbaru ialah taman Science Wonderland,” kata Irmawati.
Tambahnya, sepanjang tahun ini PSN menawarkan lebih banyak aktiviti pameran kepada pengunjung mengikut peringkat umur dan pendidikan mereka.
Aktiviti yang baru sahaja selesai berlangsung ialah Festival Dinos Alive! yang berlangsung selama sembilan hari bermula 12 hingga 20 Mac lalu.
Ia diadakan bersempena Pameran Dinos Alive! 2010 Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh PSN sejak Disember tahun lalu dan berakhir 31 Mei ini.
Selain itu, Irmawati berkata, yang terbaru PSN turut memperkenalkan Science Wonderland untuk tatapan pengunjung.
Dahulu, kawasan tersebut dibangunkan sebagai Taman Pendidikan Sains yang lengkap dengan pelbagai hidupan alam seperti tumbuhan herba, kaktus dan juga serangga.
Bagi mencari kelainan dalam mengeksploitasi kawasan itu, pihak pengurusan PSN telah menambah baik konsep taman tersebut kepada Science Wonderland menerusi penerapan elemen inovasi dan kreativiti.