Thursday, April 07, 2011

Islam agama yang damai



ISLAM bermaksud selamat atau sejahtera. Ia juga membawa konotasi akan penyerahan diri kepada Allah, tunduk dan patuh kepada syariat yang ditentukannya. Oleh itu, pada prinsipnya agama Islam bukan agama kekerasan, ia adalah agama yang menganjurkan perdamaian dan keamanan.
Namun ada orang Islam sendiri yang mencalarkan sifat agama Islam dan imej kaum Muslimin itu sendiri dengan menganggap bahawa kekerasan adalah penyelesaian terbaik bagi menentang bentuk penjajahan daripada Barat.
Jihad yang diperlihatkan dalam bentuk keganasan bom dan senjata menjadi salah satu masalah genting yang kini semakin menjadi-jadi, seolah-olah umat Islam tidak mempunyai alternatif untuk mengatasinya.
Fobia terhadap Islam
Faktor sosio-politik-ekonomi dan budaya bagi sesetengah umat yang terhimpit menyebabkan tercetusnya kebangkitan sebegini. Kes Palestin, Iraq, Afghanistan, Iran dan Sudan bukanlah kes-kes terpencil. Kes-kes tersebut wujud daripada dendam tersembunyi salibiyah oleh kuasa-kuasa sekular.
Meskipun rejim Barat mengaitkan Islam sebagai suatu fobia (Islamophobia), namun tidak semua orang Barat berpandangan demikian. Agama Islam semakin menjadi agama yang subur di Eropah.
Tidak mustahil jika dakwah umat Islam mengambil jalan bijaksana, Islam bakal mendapat tempat di hati mereka. Jika kekuatan rohaniah yang diimbangi dengan keunggulan sains dan teknologi yang Islami, ia bakal menjawab keperluan umat manusia pada masa depan.
Jika Islam itu dikaitkan dengan keganasan, adalah sesuatu yang mustahil untuk orang Barat mendatangi Andalusia suatu ketika dahulu dan menterjemahkan kitab-kita besar Islam ke dalam bahasa Latin dan Ibrani.
Jika memang sifatnya Islam itu kekerasan tidak mungkin ilmu Islam yang mendukung peradaban boleh menjadikan Eropah maju dan berperadaban.
Globalisasi tidak sekadar suatu agenda politik-ekonomi-budaya tetapi membawa faham anti agama. Faham liberal dan sekular Barat bertujuan menjadikan umat Islam hidup dan membangun tanpa agama.
Umat Islam harus peka dan sedar daripada tipu daya kebendaan dan hawa nafsu. Remaja Islam tidak harus membiarkan dirinya dibakar oleh gelombang kebudayaan Barat, tetapi harus dilatih menghargai tradisi bangsa dan agamanya yang positif dan dalam masa yang sama mampu mengolah perubahan dan pembangunan berdasarkan acuan sendiri.
Justeru, ilmu yang bersifat individu dan ilmu sosial harus dikuatkan. Kurikulum, metodologi pengajaran dan pembelajaran harus mengambil pendekatan pembaharuan dalam situasi dan keadaan yang pantas berubah. Integrasi dan Islamisasi ilmu dan pendidikan adalah agenda terbaik yang harus menjadi agenda utama umat.
Di saat ini faktor yang sangat penting harus dibangunkan ialah faktor sumber daya manusia. Perubahan yang mengambil tempat, zaman dan peradaban pun merujuk kepada kualiti sumber daya manusia.
Sekiranya sumber daya manusia memiliki kualiti ilmu yang bersifat individu dan ilmu sosial, pembinaan peradaban baru umat manusia akan berpihak kepada Islam.
Pengalaman penjajahan begitu lama, aliran ritual dan spiritual yang tidak jernih membelenggu pemikiran umat dalam pemahaman sempit terhadap perubahan.
Umat Islam berada di suatu persimpangan ritual dan spiritual yang rendah dengan keinginan maju dan berubah yang tinggi, menyebabkan mereka mencari-cari formula terbaik untuk maju.
Lantas ada yang menggunakan tradisi liberal dan pluralis Barat yang didukung oleh para orientalis dan menolak etika keilmuan Islam yang mendukung ijtihad.
Oleh itu, remaja Islam perlu kembali kepada disiplin akal, disiplin hati, dan disiplin amal. Disiplin kepada ilmu terutama ilmu-ilmu yang bersifat berbanding daripada sumber lain harus jelas. Disiplin terhadap upaya berfikir yang berdasar disiplin ilmiah Islami haruslah teguh. Daripada situ bakal lahir pemikiran yang maju dan dinamis tetapi tidak bertentangan dengan Islam.
Masalah sosial, ekonomi, dan penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi yang kini menerpa sebahagian besar kaum Muslimin antara lain disebabkan lunturnya semangat jihad dalam pembangunan sumber daya manusia.
Sementara itu, kegemilangan peradaban yang pernah diraih kaum Muslimin antara lain dibantu oleh semangat keilmuan yang tinggi dan mendapat dukungan pemerintah atau kerajaan.