Yovie & Nuno tak kecil hati

YOVIE & NUNO bergambar dengan Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Adrian Lim pada majlis pelancaran album terbaru mereka, The Winning 11.
LAGU Menjaga Hati boleh dikatakan sebagai lagu pembawa tuah buat band dari Bandung, Indonesia, Yovie & Nuno. Lagu itu telah berjaya membawa mereka menembusi pasaran Malaysia pada tahun lalu.
Band yang sememangnya sinonim dengan lagu-lagu romantis itu juga cukup popular di kaca televisyen apabila single kedua yang berjudul Dia Milikku daripada album The Special One menjadi lagu tema sinetron popular Cinta Kirana yang ditayangkan di Astro Ria pada tahun lalu.
Meskipun lagu mereka ligat diputarkan di stesen radio tempatan, namun, masih ramai peminat muzik tempatan yang tidak mengenali siapakah Yovie & Nuno.
Bagaimanapun, perkara itu tidak membuatkan band yang dianggotai oleh Yovie Widianto (Yovie-keyboard), Pradikta Wicaksono (Dikta-vokal), Dudy Oris (Dudy-vokal) dan Muchamad Ahadiyat (Diat - gitar) gentar untuk meluaskan sayap muzik mereka.
Terang Yovie ketika ditemui pada majlis pelancaran album keempat mereka, Winning 11 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini: “Apa yang penting, pendengar muzik Malaysia suka dan menerima muzik kami, itu sudah satu kepuasan buat kami. Jika tidak, hari ini kami tidak akan berada di sini.”
Akui Yovie, populariti lagu Menjaga Hati sememangnya cukup kuat, justeru itu mereka mengambil masa yang lama untuk membikin album Winning 11 iaitu dari Disember 2009 sehingga Mei 2010 dengan harapan lagu-lagu yang dihasilkan lebih hebat daripada lagu tersebut.
“Ternyata kelewatan itu ada hikmah sebaliknya apabila lagu-lagu hits album baru ini terhasil pada saat-saat akhir pembikinan album ini seperti lagu single pertama yang berjudul Manusia Biasa,” ujar Yovie selaku ketua band.
Berbicara mengenai maksud di sebalik judul album Winning 11, jelas Yovie, judul itu dipilih berdasarkan jumlah lagu yang terpilih untuk dimuatkan dalam album itu.
Memberitahu mempunyai sebanyak 40 buah lagu, namun hanya memilih 11 sahaja yang terbaik, kata Yovie: “Jadi, lagu-lagu yang terpilih itu merupakan lagu-lagu yang menang. Sebab itu album ini diberi judul Winning 11 sebagai simbolik.
Telah dipasarkan sejak Julai tahun lalu di Indonesia, namun disebabkan kesibukan mengadakan konsert jelajah di 70 buah kota, baru kini mereka bertandang ke Malaysia untuk menjalani rangka promosi album tersebut.
“Saya rasa, ini masa yang tepat untuk kami melancarkan album serta membuat rangka promosi di Malaysia selepas di Indonesia sendiri, lagu Manusia Biasa telah dimuat turun sebanyak dua juta kali,” jawabnya yang turut memberitahu ada menyimpan hasrat untuk mengadakan konsert di Malaysia jika mempunyai peluang.
Album yang kini sudah berada di pasaran memuatkan lagu-lagu seperti Tak Setampan Romeo, Sampai Akhir Waktu, Manusia Biasa, Merindu Lagi, Malam Mingguku, Pada Hari Ini, Yang Pertama, Mengejar Mimpi, Cerita Untuk Dunia, Indahnya Berdua dan Manis.
Dua lagu daripada album ini iaitu Tak Setampan Romeo sempat menjalani penggambaran video muzik di Milan, Itali, dan lagu Merindu Lagi di Amsterdam, Belanda dan Paris.
Sekitar bulan Mei depan band ini sekali lagi akan berangkat ke Eropah untuk mengadakan persembahan dan menjalani pembikinan video muzik di sana.