Kelangsungan Voices From The South 2011

ROTHIAH (tiga dari kiri) merasmikan Voices From The South 2011.
SETELAH empat tahun berlalu, program Radio Bicarawara Voices From The South masih menjadi sorotan menarik dan mengisi lagi carta rancangan saluran radio TraXXFM 90.3MHz.
Masih kekal dengan format yang sama, ia dipertingkatkan dengan paparan isu yang lebih informatif, interaktif serta global untuk tatapan audiens tempatan.
Program yang mempunyai pendekatan seperti forum perdana itu difahamkan terus disajikan atas respons positif yang diterima sejak ia diperkenalkan pada tahun 2008.
Setiausaha Gerbang Maklumat Selatan-Selatan (SSIG), Asmawar Samat memberitahu, keunikan program radio bicarawara itu adalah ia akan melibatkan penyertaan yang membabitkan wakil-wakil kerajaan dari negara-negara selatan yang berpusat di Kuala Lumpur.
“Mereka akan mengupas dan berkongsi informasi serta pendapat yang bernas mengenai isu-isu yang melanda di negeri-negeri berkenaan.
“Ia termasuklah isu politik, ekonomi, sosial, teknologi, pelancongan, budaya dan sebagainya,” ujar Asmawar pada majlis pelancaran yang berlangsung di Hotel Crystal Crown, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sejak ia diperkenalkan, program tersebut telah disertai kira-kira 28 buah negara dan wakilnya. Pada tahun ini pula, sepuluh lagi negara bakal menyertainya.
Antaranya, Brazil, Brunei Darussalam, Kemboja, Ghana, Indonesia, Kyrsgyztan, Laos, Maldives, Myanmar dan Peru.
Asmawar turut memberitahu, pengisian program itu sememangnya luas dan berat, maka untuk menjadikan ia lebih interaktif serta menarik, ia diselaraskan dengan perbincangan dua hala yang disampaikan dalam keadaan lebih santai, sesuai untuk semua lapisan penonton.
Ujarnya lagi, perbincangan mengenai isu-isu pembangunan penting dalam membina hubungan diplomatik bersama negara-negara selatan secara tidak langsung mengutarakan idea untuk mengelakkan mana-mana konflik antara negara.
Durasi program itu adalah 45 minit dan ia ke udara setiap Rabu bermula pada minggu kedua April ini sehingga hujung tahun di saluran radio TraXXFM 90.3MHz.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Penerangan) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Dr. Rothiah Omar.