MENYENTUH mengenai perihal fiqh muamalat, sering kali ia akan dikaitkan dengan urusan berkaitan hukum kewangan. Namun sebenarnya, apabila kita menyentuh mengenai fiqh muamalat, ia tidak terhad kepada batasan kewangan, sebaliknya membabitkan cabang dalam urusan yang dilakukan manusia.
Justeru, bila menyentuh mengenai fiqh muamalat, ia akan berkait dalam urusan yang pelbagai, termasuk urusan dalam politik (siyasah), pentadbiran, nikah kahwin (munakahat), hukum jenayah, dakwah serta akhlak.
Sheikh al-Islam Ibn Taymiah menyatakan, fiqh muamalat merujuk kepada urusan manusia berdasarkan dua perkara, iaitu amalan (ibadah) yang baik untuk agama dan hal adat yang diperlukan manusia dalam melakukan urusan dunia.
Sebagaimana dipersetujui jumhur ulama silam dan kontemporari, urusan hukum dalam hal berkaitan ‘fiqh ibadah’ adalah terhad dan terikat dengan dalil yang khusus dan sebahagian dalil umum.
Sebagaimana dipersetujui jumhur ulama silam dan kontemporari, urusan hukum dalam hal berkaitan ‘fiqh ibadah’ adalah terhad dan terikat dengan dalil yang khusus dan sebahagian dalil umum.
Namun, ia mesti berdasarkan dalil jelas sebagaimana kaedah dipersetujui ulama yang menyatakan ia mestilah bagi urusan yang ‘tawaqquf’. Tawaqquf pula bermaksud urusan berdasarkan dalil (al-Quran dan hadis) dan bukan urusan yang dicipta sendiri.
Sheikh Yusuf Al-Qaradawi pula mengulas lanjut berkenaan disiplin hukum dalam bab ibadah dengan menjelaskan, ciri sesebuah ibadah khusus itu mestilah dengan niat kerana Allah SWT dan mengikut urusan yang disyariatkan.
Kerana itu, bagi membenarkan perbuatan dalam konteks fiqh muamalat, seseorang individu tidak dibenarkan membentuk ibadah baru yang tidak berasaskan dalil.
Ibn Abidin menjelaskan, beberapa aspek muamalat boleh dibahagi kepada lima perkara iaitu pertukaran pemilikan dalam jual-beli (mu’wadah maliah), nikah kahwin, perbicaraan di mahkamah (mukhosamah), kontrak amanah (termasuk politik dan kepemimpinan) dan pembahagian pusaka. (Hashiah Ibn ‘Abidin, 1/79)
Bagi semua hukum serta bentuk dalam fiqh muamalat pula, Allah SWT meletakkannya sebagai asas utama yang tidak berubah (thawabit). Namun, kebanyakan cara dan bentuk pelaksanaannya boleh berubah selari dengan peredaran zaman serta tempat.
Sebarang perubahan hukum ini pula mestilah diawasi oleh ulama berkelayakan melalui kaedah tertentu.
Hasil daripada prinsip muamalat yang tetap dan pelaksanaan yang boleh diubah suai, Islam dapat menyelesaikan pelbagai masalah kemanusiaan yang sentiasa berkembang dan berubah, seterusnya memastikan ia tidak disalah guna oleh individu berkepentingan.
Al-Muwafaqat Al-Shatibi menjelaskan, hukum ghalib (keuntungan) bagi hal ehwal muamalat mesti kembali kepada objektifnya yang membabitkan urusan kepada Allah SWT.
Keadaan ini juga menyebabkan sebahagian besar pelaksanaan hukum dalam fiqh muamalat akan sentiasa berubah disebabkan oleh suasana serta keadaan setempat dinamakan ‘uruf’ (kebiasaan yang dilakukan masyarakat setempat).
Bagaimanapun, ‘uruf’ terbabit mestilah tidak bercanggah dengan nas dan dalil jelas. Jika itu berlaku, ia dinamakan ‘uruf fasid’ atau kebiasaan yang rosak serta tidak boleh digunakan. Secara jelas, hukumnya haram .
Jadi, perlu kita fahami bahawa urusan kewangan adalah ehwal fiqh al-muamalat antara manusia dengan manusia.
Justeru, mewujudkan satu kontrak jual-beli yang tidak pernah wujud pada zaman Rasulullah SAW adalah harus selagi prinsip keadilan dalam jual-beli dipelihara, iaitu tiada riba, tiada ‘gharar’ (ketidakpastian), tiada judi selain wujud persetujuan antara dua pihak.
Mungkin ramai akan menyoal, mengapa pula ia ‘harus’, sedangkan urusan sedemikian tidak ada pada zaman Rasulullah SAW?
Jawapannya, kerana ia satu daripada isu hukum muamalat yang anjal (fleksibel).
Kerana ini juga sistem bank hari ini diiktiraf ulama walaupun tidak wujud pada zaman Rasulullah SAW.
Ibadah ini memerlukan pengubahsuaian dari semasa ke semasa supaya mencapai sasaran kebaikan kepada masyarakat.
Selain itu, medium pembelian membabitkan urusan ini mesti menggunakan mata wang atau unsur dari bab muamalat. Walaupun mata wang yang ada pada masa kini tidak ada pada zaman Rasulullah SAW, ia tetap harus selagi memenuhi keperluan serta adil.
Dalam urusan pentadbiran dan politik pula, selagi perbuatan itu tidak membawa mudarat besar, ia juga masih dikategorikan dalam kategori harus.
Antara contoh ini adalah ketika zaman Umar al-Khattab RA sewaktu pembahagian tanah di Iraq yang dibuka oleh tentera Islam waktu itu selaras dengan surah al-Anfaal, ayat 41, yang bermaksud: “Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnusabil (orang-orang yang memerlukan bantuan).”
Difahami daripada ayat itu, empat perlima bakinya dibahagikan kepada tentera yang berjuang, namun Umar al-Khattab dan sebahagian ulama di kalangan sahabat seperti Sayyidina Ali, Muadz Ibn Jabal dan beberapa yang lain berpendapat tidak perlu dibahagikan dan membiarkannya kekal di tangan pemiliknya yang asal.
Dengan syarat pemiliknya yang asal membayar kharaj (cukai tanah) yang boleh dimanfaatkan semua umat Islam.