SOALAN: Selepas lulus SPM dengan mendapat gred 3, kami sekeluarga berpindah ke Kuala Lumpur mengikut ayah bekerja. Ketika tinggal di sebuah pekan kecil di Batu Pahat dulu, saya rasa kulit saya agak gelap, tetapi selepas duduk di bandar yang canggih ini, bertemu dengan kawan-kawan yang tahu mekap, saya terpilih menjadi seorang pelakon, lalu akhirnya kerap menjadi heroin.
Mungkin kerana saya seorang tinggi, menjadi buruan wartawan dan pengarah. Kerap kali gambar saya keluar dalam akhbar dan majalah.
Dalam umur 24 tahun, setelah beberapa tahun menjadi pelakon saya sedar apakah sebenarnya kehidupan seorang pelakon. Lepas berlakon menjadi heroin dalam drama, keseronokan itu terbawa-bawa ke bilik hotel, saya tinggal bersama penolong pengarah yang memang rapat dengan saya, lalu akhirnya kami tidur sekatil, biarpun tidak terlanjur.
Dua tahun kami mengalun cinta, dia telah mempunyai isteri yang masih muda dan sedang mengandung anak ketiga. Saya bertekad akan berkahwin dengannya. Biarpun kami tidak terlanjur dan berzina, saya rasa kehormatan saya telah tercemar.
Untuk mengatasinya, saya mesti berkahwin dengannya. Saya rasa dia seorang yang sesuai dengan saya kerana seorang romantik dan bersesuaian dengan jiwa saya. Tetapi dalam masa yang sama saya terfikir, adakah cita-cita suci saya terlaksana dan berakhir dengan kebahagiaan selamanya.
– Pelakon risau, Kuala Lumpur.
Jawapan: Daripada seorang budak sekolah berkelulusan SPM, tinggal di pekan kecil, tidak tahu mekap dan saudari berpindah ke Kuala Lumpur ikut keluarga. Yang memberi kredit kepada saudari kerana mempunyai ketinggian dan sebenarnya mempunyai kecantikan yang selama ini tidak digilap.
Saudari merasa menjadi lebih cantik, apabila surat khabar dan majalah mengeluar gambar, kadang-kadang sampai tiga keping dalam satu keluaran. Ada dua gambar besar dan satu kebil untuk mempromosi seseorang, lebih-lebih lagi public figure yang sedang top. Surat khabar seperti ini, juga majalah-majalah yang memaparkan gambar sedemikian hanya menebalkan keluarannya semata-mata, dari segi akademiknya, tulisan atau paparan seumpama ini sebenarnya tidak ada nilai ilmiah, pembaca membayar segala kos yang dikeluarkan, tetapi tidak mendapat ilmu atau manfaat daripadanya.
Rasa cantik dan disanjung itu terus menebal dalam diri individu yang terlibat. Ada rasa bangga juga ada rasa angkuh. Ia timbul semata-mata kerana dirasakan dirinya cantik, disanjung, diminati. Fenomena ini akan tiba ke kemuncaknya apabila muka yang dirasakan cantik itu menjadi bahan iklan di televisyen, surat khabar dan sebagainya yang boleh menyebabkan seseorang itu lupakan diri, riak.
Dalam suasana seumpama inilah timbulnya iklan-iklan rambut yang halus mengurai yang disertakan dengan jenama produk tertentu. Difokus pada pandangan betis yang mulus panjang. Hal seumpama ini banyak digambarkan apabila menggambarkan kecantikan seseorang seperti yang dijelaskan dalam hikayat-hikayat lama, di mana keindahan betis itu digambarkan seumpama bunting padi, pipi licin seumpama pauh dilayang. Hidung mancung seludang dan macam-macam lagi gambaran pengarang dalam usaha menggambarkan kecantikan seseorang gadis.
Hakikatnya, apabila yang ditayangkan itu muda, rambutnya akan kelihatan mengurai seumpama sutera, pipinya seumpama pipi bayi, halus seumpama sutera atau seumpama bulu anak ayam baru menetas. Segala-galanya cantik ketika muda biarpun tanpa menggunakan produk tertentu.
Tentunya lebih cantik apabila disertakan dengan alat-alat solek, saya yang berlaku kepada saudari apabila tinggi di Kuala Lumpur, pada hal saudari kelihatan gelap sedikit ketika tinggal di Batu Pahat, apatah lagi ketika itu saudari masih bersekolah.
Apa yang perlu diperjelaskan, suasana seumpama ini, termasuk sanjungan yang keterlaluan itu tidak banyak memberi faedah dalam erti kata sebenar, pada diri sendiri, keluarga, masyarakat selain daripada menebal rasa riak, menunjuk-nunjuk, merasa diri lebih daripada orang lain.
Dari sinilah lahirnya individu yang bertunang atau berkahwin memberi hantaran secara besar-besaran, ditulis dalam akhbar sebanyak RM40 ribu, RM10 ribu atau lebih daripada itu ada juga si lelaki memberi sebuah kereta. Berita seumpama ini mendapat tempat di muka depan akhbar atau di ruang-ruang yang banyak peminat membacanya.
Islam itu mudah dan praktikal. Amalan seumpama ini bukan daripada ajaran Islam. Dalam Islam, perkahwinan mesti mengandungi seorang lelaki, sighah iaitu ijab dan kabul, seorang wali atau wali hakim, dua saksi dan mahar.
pengaruh Hindu
Namun demikian, akibat daripada pengaruh Hindu yang didatangkan dari Benua India, perkahwinan Melayu menjadi complicated seperti yang berlaku sekarang. Setelah Islam datang, disusuli dengan kedatangan British atau Barat, orang Melayu mula mengadakan majlis perkahwinan di hotel-hotel, adakalanya mirip kepada upacara Barat dengan gaun menyapu lantai, potong kek, tarian dan sebagainya.
Keadaan ini terus menerus berlaku hingga sekarang. Tidak banyak dipersoalkan upacara-upacara seumpama ini, sama ada teguran daripada jabatan-jabatan agama, orang-orang politik atau lain-lain. Sesungguhnya sifat riak atau menunjuk-nunjuk itu termasuk dalam amalan “syirik asghar” (syirik kecil) yang sepatutnya dielakkan.
Yang penting ialah ilmu yang berkaitan dengan hidup rumah tangga yang wajib dipelajari, difahami dan dihayati, semoga dengan hidup berumahtangga itu aman damai dan mendapat keredaan Allah buat selama-lamanya.
Bertunang adalah tempoh di mana setiap pasangan atau keluarga perlu memerhati, meneliti pasangan yang lain. Tentang latar belakang keluarga, ketakwaannya kepada Allah dan lain-lain keperluan sebagai insan. Akibat daripada membelakangkan ilmu pengetahuan yang berkaitan rumah tangga, perkahwinan yang dilakukan secara besaran, diuar-uarkan di seluruh negara akhirnya berkesudahan dengan masalah. Lagi sekali kes-kes berkenaan diheboh di dada-dada akhbar.
Kalau dulu muka utama akhbar menyiarkan berita pertunangan, jumlah hantaran, persandingan, adat menyarung cincin di jari manis atau istiadat membatalkan air sembahyang, kali ini akhbar yang sama membongkar rahsia talak yang dijatuhkan di hadapan hakim kadi. Lagi sekali akhbar seumpama ini tidak mengandungi berita-berita yang bersifat akademi atau mendapat ilmu daripada pembacaan yang dipaparkan.
hakikatnya apa yang dipaparkan dalam majalah atau akhbar seperti dijelaskan bukan perlakuan hidup sebenar masyarakat Malaysia. Masih banyak penduduk Malaysia yang kain pagi makan pagi, kais petang makan petang. TV3 selalu menyiarkan kehidupan yang menderita, hidup sebatang kara ditinggalkan suami, kerja sebagai buruh kasar, menyara hidup dua, tiga orang anak yang kesemuanya cacat. Anak kecil yang masih sekolah menengah berhenti membantu emaknya untuk menyara hidup keluarga atau adik beradik yang malang.
Saudari merasakan diri “tidak suci” atau seumpama “ternoda” kerana tidur sekatil dengan pasangan, hasil daripada rangsangan ghairah ketika berada di pentas berlakon. Saya berkeyakinan bahawa keadaan atau perasaan seumpama ini dialami oleh semua orang, yang lelaki atau perempuan yang telah berkahwin atau belum berkahwin. Ini tetap berlaku selagi individu berkenaan sihat, normal dan mempunyai nafsu sebagai manusia.
Kerana saudari mengambil keputusan untuk berkahwin dengan pasangan berkenaan saudari merasakan dia adalah seorang lelaki yang paling sesuai. Paling romantis dan saudari bertekad tidak mahu berkahwin dengan lelaki lain.
Saudari tidak pernah bercinta selain daripada pasangan saudari yang telah mempunyai dua orang anak. Kerana itu, bagaimana saudari tahu yang lelaki ini adalah paling sesuai, orang lain tidak sesuai, sesuai dengan selera saudari.
Saudari kena insaf, ketika bercinta segala-galanya cantik. Seperti yang dijelaskan, pasangan saudari mempunyai isteri yang cantik, tetapi kenapa masih mencari peluang tidur sebantal dengan saudari. Ini secara tidak langsung, kecantikan itu bukan prioriti, dalam masa yang sama dia tidak dapat menghargai kecantikan isterinya, sebab utama mungkin saudari masih muda. Saudari juga perlu ingat, saudari ketika berada di kampung mempunyai kulit gelap. Mungkin isteri teman saudari itu lebih cantik daripada saudari, tetapi kerana saudari lebih muda atau dia iaitu pasangan saudari semata-mata mahu ubah selera seksnya.
berusaha
Kerana itu, kalau dia boleh berusaha mengubah selera dari isterinya kepada saudari, kenapa pula ia tidak boleh berubah selera kepada perempuan lain apabila saudari sudah berada di genggamannya.
Di surat khabar, yang selama ini berita tentang saudari di muka hadapan, tiga keping keluar dalam satu terbitan, tayangannya dipaparkan sama, tetapi beritanya mungkin pergaduhan di mahkamah kadi. Waktu itu saudari akan dihambat wartawan dengan bertudung litup berwarna hitam, sambil memakai cermin mata besar untuk mengelirukan mata peminat, juga kenalan di Batu Pahat, termasuk teman-teman di sekolah dulu.
Fenomena seperti ini banyak berlaku, malah menjadi satu trend, apabila seseorang itu dituduh di mahkamah, gambar yang dipaparkan ialah ketayap putih bagi lelaki, termasuk di antaranya mereka yang merogol gadis di bawah umur. Inilah gambaran masyarakat Melayu Islam Malaysia yang wajarnya dikikis dan bukan menjadi trademark.
ALAMATKAN soalan kepada Datuk Dr. Amran Kasimin, Mingguan Malaysia, 46M, Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur atau e-mel ke mingguan@utusan.com.my