Arsenal azam bangkit

BARISAN pemain Arsenal tidak mahu lagi terus dihimpit kekecewaan bagi mengharungi baki saingan liga musim ini.
LONDON - Arsenal perlu bangkit pada aksi sepanjang bulan ini andai mereka terus berhajat untuk mencabar Manchester United bagi merebut kejuaraan Liga Perdana England musim ini.
Arsenal bakal menanti kunjungan Blackburn Rovers awal pagi esok dengan hanya berjaya menambah dua mata setelah seri dengan Sunderland dan West Brom bulan lalu.
Hanya satu kemenangan yang berjaya dicatat skuad bimbingan Arsene Wenger itu bulan lalu ialah ketika menewaskan Leyton Orient pada aksi ulangan Piala FA.
Arsenal turut tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara setelah tewas kepada Barcelona, manakala mereka tewas kepada United pada suku akhir Piala FA.
Justeru pemain pertahanan Arsenal, Sebastien Squillaci mahu skuad The Gunners itu mencontohi United.
"Kami telah mengharungi tempoh waktu yang agak teruk tetapi kami perlu kembali bangkit jika mahu bersaing dengan United merebut kejuaraan liga.
"Itu saja sasaran kami yang tinggal musim ini. Kami akan cuba untuk terus mengutip tiga mata penuh. Lihat seperti United, mereka berterusan mencatat kemenangan dan itu penting.
"Jadi misi kami kini adalah bangkit semula daripada kekecewaan dan membuktikan yang Arsenal masih sebuah kelab yang mampu untuk muncul juara liga," kata Squillaci.
Dengan Johan Djourou dan Thomas Vermaelen kedua-duanya masih cedera, Squillaci merupakan salah seorang daripada dua pemain pertahanan tengah berpengalaman yang cergas untuk diturunkan Wenger awal pagi esok.
"Memang agak kurang bernasib baik saya gagal beraksi secara tetap sebelum ini. Jadi apabila mendapat peluang beraksi semula, saya cukup gembira.
"Tetapi apa yang lebih penting ialah kemenangan pasukan dan kami akan terus berusaha memastikan tiga mata penuh pada baki setiap perlawanan selepas ini," jelasnya. - AFP