Saturday, April 02, 2011

Pertembungan Federer, Nadal

Pertembungan Federer, Nadal

NADAL (kiri) dan Federer akan berentap pada aksi separuh akhir Terbuka Sony Ericsson esok.


KEY BISCAYNE, Florida - Dua jagoan, Rafael Nadal dan Roger Federer sekali lagi akan bertembung sesama sendiri.
Kali ini, mereka akan berentap pada aksi separuh akhir Kejohanan Tenis Terbuka Sony Ericsson selepas masing-masing melepasi saingan suku akhir kelmarin.
Nadal yang juga pemain No. 1 dunia, Nadal berjaya menewaskan Tomas Berdych dari Republik Czech 6-2, 3-6, 6-3, manakala Federer pula mara setelah lawannya dari Perancis, Gilles Simon menarik diri kerana cedera di leher setelah ketinggalan 0-3 pada set pertama.
Dua musuh ketat ini akan turun berdepan buat kali ke-23 sepanjang karier mereka, namun ia kali pertama sejak enam tahun dalam kejohanan di Amerika Utara ini yang mana Federer menewaskan Nadal pada 2005 untuk bergelar juara.
"Kami memang tidak sabar untuk bertemu dalam perlawanan seperti ini kerana kami tahu semua dunia sedang menyaksikannya," kata Federer.
"Pertemuan kami sering menyajikan aksi yang hebat dan juga mendebarkan."
Satu lagi separuh akhir menyaksikan pjaguh Serbia, Novak Djokovic menentang pemain Amerika Syarikat, Mardy Fish.
Sementara itu, ratu Rusia, Maria Sharapova mencatat kemenangan ke-11 berturut-turut untuk mara ke final dalam kategori wanita setelah menewaskan Andrea Petkovic dari Jerman 3-6, 6-0, 6-2.
Sharapova masih memburu gelaran pertamanya sejak Mei 2010 dan juga pertama dalam kariernya pada kejohanan di Key Biscayne ini.
"Ia akan memberi makna yang besar kepada saya," kata Sharapova.
"Kejohanan ini adalah yang terbesar selepas Grand Slam. Saya tidak sabar lagi untuk turun beraksi dan menjuarainya."
Lawan Sharapova hari ini ialah juara edisi 2009 dari Belarus, Victoria Azarenka yang menang ke atas pilihan ketiga, Vera Zvonareva 6-0, 6-3. - Agensi