Saturday, April 02, 2011

Vikingdom taraf Hollywood

Vikingdom taraf Hollywood



SELEPAS menghasilkan filem Hikayat Merong Mahawangsa,KRU Studios tidak akan terus berdiam diri untuk menerbitkan karya yang lebih bermutu tinggi.
Sebaliknya, pendokong utama KRU Studios yang terdiri daripada Norman, Edry dan Yusry sekali lagi ingin mencuba nasib mempertaruhkan filem bertaraf Hollywood berjudulVikingdom.
KRU Studios juga bakal menjadi produksi tempatan pertama menghasilkan filem tersebut dengan kerjasama Epic Pictures.
"Sebenarnya perancangan untuk menghasilkan filem ini sudah lama kami fikirkan iaitu sejak tahun 2007 lagi. Tetapi disebabkan filem ini memerlukan proses yang rumit terutama pada bahagian praproduksi, jadi kami terpaksa cari masa yang sesuai.
"Vikingdom juga akan menjadi sebuah filem yang mengetengahkan elemen penghasilan imej janaan komputer (CGI)," beritahu Pengerusi Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim pada sidang media di KRU Studios, Cyberjaya baru-baru ini.
Walaupun mendapat sentuhan kepakaran Hollywood, tidak bermakna ia langsung tidak menggunakan kerahan tenaga tempatan.
Ia sama juga dengan sentuhan filem Hikayat Merong Mahawangsa yang sepenuhnya menggunakan kebolehan krew tempatan terutama dari segi persiapan di belakang tabir.
Tambah Norman, pemilihan tajuk Vikingdom sebenarnya memberi erti yang unik. Ia merupakan gabungan di antara Viking dan Kingdom yang berkonsepkan aksi kerana filem sebegitu lebih dekat dengan jiwa penonton di luar negara.
"Sasaran utama kita ialah penonton di luar negara, jadi filem yang dihasilkan mestilah mengikut pasaran peminat di sana. Kami akan menggunakan pengalaman daripada pembikinan filem Hikayat Merong Mahawangsa untuk filem ini," jelas Norman lagi.
Lebih membanggakan, filem tersebut juga menggunakan khidmat penulis skrip dari luar negara iaitu James Coine.
Ditanya tentang kos pembikinan yang pasti bukan sedikit kerana ia bakal membabitkan tenaga pelakon dari Hollywood, Norman memberitahu, bajet tersebut akan diumumkan kelak.
Namun katanya secara berseloroh: "Soal kos perbelanjaan akan diumumkan kelak. Bagi barisan pelakon Hollywood pula janganlah mengharapkan lakonan Brad Pitt atau Johnny Depp. Tetapi nama pelakon itu semestinya turut terkenal di kaca televisyen pasaran Hollywood."
Memilih Yusry sebagai pengarah filem, setakat ini mereka masih lagi dalam peringkat praproduksi dan akan menjalani penggambaran sekitar Oktober atau November depan.
Pemilihan lokasi penggambaran pula akan diadakan di studio Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan di kawasan tanah tinggi seperti Genting Highlands, Pahang serta Bukit Fraser, Pahang.
"Kita sudah meneliti gambaran suasana di Sweden iaitu kesan peninggalan sejarah Viking. Jadi kami rasa tidak perlu untuk ke sana membuat penggambaran sebaliknya menyediakan prop yang hebat sebagai pengganti," beritahu Yusry.