Soalan: Kawan saya yang berasal daripada agama lain dan telah memeluk Islam. Beberapa tahun ini dia mula menyampaikan hasrat hatinya untuk kembali kepada agama asalnya. Bagaimanakah untuk mencari jalan penyelesaiannya ?
- Nurulddin Mohd Noor, Gombak, Selangor.
Jawapannya: Keimanan seseorang dengan Allah itu merupakan satu kepercayaan dan perjanjian yang yang amat kudus, agung dan suci. Ia adalah suatu ikatan yang mendalam antaranya dengan Tuhan. Akidah dan ikatan ini yang tersimpul daripada dasar hatinya dan termeteri dengan Allah Yang Maha Pencipta.
Sedangkan Allah SWT itu Tuhan yang menciptakannya dari awal kejadiannya yang bermula daripada tiada apa- apa, lalu diciptakan, diasuhkan dan dijaganya sehingga menjadi manusia, remaja dan seterusnya dewasa. Kurniaan-Nya adalah nikmat lengkap dengan kesenangan hidup yang tidak termampu hamba itu sendiri menghitungkannya, apatah lagi mengingkarinya.
Jadi bila kawan anda tadi bercadang merombak balik ikatan yang begitu mendalam akar umbinya bererti usaha tersebut amatlah menyeksakan jiwanya dan mendatangkan kemurkaan Tuhan.
Ini adalah seperti sebatang pokok yang sudah menjunam akarnya ke dasar bumi, dan hidup subur, rendang, tetapi kawan anda itu berhasrat mencabutnya kembali. Pastilah ia boleh mendatangkan bahaya, dan boleh merugikan kita semua kerana mereka yang telah menerima Islam itu bererti jiwanya mula mendapat roh kehidupan dan kemerdekaan dari segala suatu yang lain daripada Allah. Tanpa ada tingkatan (kasta) kehambaan terhadap sesiapa, dan tiada kemuliaan untuk sesiapa melainkan dengan takwa sahaja.
Hakikat kehidupan yang bebas dan bercahaya ini, bila sudah menjiwai seorang, tidak ada lagi sesiapa yang ingin kembali kepada kehidupan yang terikat sempit lagi gelap gelita kembali.
Amatlah menyakitkan dan menyeksa dirinya sendiri. kerana kehidupan sebenar itu bukanlah kehidupan tubuh badan yang berdarah daging ini. Ini kerana kehidupan seperti itu semua dimiliki bersama oleh haiwan binatang dan kejadian yang lain semuanya, tetapi kehidupan hakiki ialah kehidupan yang ikatannya kuat bersambungan dengan Allah melalui hubungan akidah keimanan dan pengenalan kecintaan dengan-Nya.
Keimanan itulah yang melahirkannya kembali dan dapat hidup sempurna sebagi hidup yang hakiki, dan akan bertemu Tuhannya di akhirat nanti dengan selamat sejahtera dan aman bahagia.
Dengan cahaya keimanan manusia dapat mengenali dan membezakan antara baik dan buruk, kebajikan dan kejahatan dan mengenali kebenaran dan kebatilan.
Dalam kehidupan hakiki tersebut, tidak ada lagi ruang bagi bibit keraguan untuk hidup subur padanya sekalipun suasana kelilingnya diselubungi gelap gelita.
Wallahualam.