Bos Sauber puji prestasi Perez
LONDON - Ketua pasukan Sauber, Peter Sauber memuji aksi cemerlang pemandunya, Sergio Perez pada perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Australia di Litar Albert Park, Melbourne, Ahad lalu.
Pemandu baru dari Mexico itu mempamerkan pemanduan cemerlang untuk menduduki tempat ketujuh, manakala rakan sepasukannya, Kamui Kobayashi berada di tempat kelapan.
Bagaimanapun, kedua-dua pemandu itu didapati telah melanggar peraturan teknikal pada jentera mereka ketika sesi pemeriksaan selepas perlumbaan.
Pengelola perlumbaan mendapati bahawa kedua-dua jentera Sauber yang dipandu mereka telah melanggar Artikel 3.10.1 dan 3.10.2 berhubung bentuk dan lengkung pada bahagian sayap kereta.
Perez satu-satunya pemandu yang menamatkan perlumbaan dengan hanya memasuki pit sebanyak sekali dan Sauber menjelaskan, dia kagum dengan persembahannya itu.
"Ya, saya terkejut (dengan persembahan Perez)," kata Sauber.
"Tanggapan pertama saya, dia pemandu yang bagus kerana kami telah mengikuti perkembangannya sejak GP2 musim lalu dan dia juga agak baik ketika sesi ujian pramusim.
"Namun pada perlumbaan sebenar, dia sebenarnya sangat hebat. Menamatkan 35 pusingan dengan menggunakan tayar lembut, itu sesuatu yang menakjubkan."
Sauber mengakui pasukannya tidak merancang untuk berhenti di pit hanya sekali sebelum perlumbaan kerana ia mustahil untuk dilakukan.
"Sebenarnya ia bukan strategi kami, jelas sekali kami mahu jentera memasuki pit dua atau tiga kali.
"Tetapi apabila melihat masa yang dicatatnya sangat bagus dan selepas 40 pusingan, Sergio sendiri memberitahu yang dia mampu melakukannya sehingga ke akhir perlumbaan, maka kami teruskan saja rancangan itu," kata Sauber. - Agensi