Bantuan mangsa banjir tertumpu di Kangar

UMAT Islam mengharungi banjir untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, Kangar semalam.
KANGAR - Operasi bantuan dan menyelamat mangsa banjir di Perlis kini tertumpu di sekitar bandar ini apabila jumlah penduduk yang dipindahkan terus meningkat berbanding mangsa di Padang Besar dan Arau yang kebanyakan mereka mula pulang ke rumah masing-masing sejak semalam.
Sehingga petang semalam, seramai 3,498 mangsa daripada 948 keluarga di sekitar Kangar telah ditempatkan di 20 pusat pemindahan berbanding kira-kira 2,100 penduduk kelmarin.
Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri, jumlah keseluruhan mangsa banjir ialah seramai 4,168 orang daripada 1,121 keluarga yang ditempatkan di 31 pusat pemindahan.
"Selain Kangar, pecahan mangsa di Arau ialah seramai 443 orang daripada 119 keluarga di tujuh pusat pemindahan.
"Ramai mangsa banjir di Padang Besar telah dibenarkan pulang dan ketika ini hanya 227 orang daripada 54 keluarga masih berada di empat pusat pemindahan," katanya dalam kenyataan di sini semalam.