Ujian terbesar Barcelona
MADRID - Juara bertahan, Barcelona berdepan salah satu ujian terbesar pada saingan Liga Sepanyol musim ini apabila berdepan pasukan di tangga ketiga, Villarreal di tempat lawan awal pagi esok.
Barcelona kini di tangga teratas liga dengan kelebihan lima mata berbanding Real Madrid tetapi jurulatihnya, Pep Guardiola risau dengan keadaan para pemainnya setelah selesai tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan masing-masing.
"Adalah cukup penting untuk kami mencuri kemenangan di tempat lawan apabila berdepan Villarreal ini.
"Kemenangan akan memberikan kami kedudukan selesa, namun setiap kesilapan pada saat genting ini hanya akan membuatkan kami terpaksa membayarnya dengan harga yang mahal," kata pemain pertahanan kanan Barcelona, Dani Alves.
Barcelona menghadapi sedikit kebimbangan di barisan pertahanan setelah Carles Puyol mengalami kecederaan, manakala Eric Abidal baru selesai menjalami pembedahan membuang ketumbuhan di hati.
Selain itu, penjaring terbanyak Barcelona, Lionel Messi turut dibimbangi keadaannya setelah mengalami kecederaan yang memaksa dia diketepikan ketika Argentina bertemu Costa Rica.
Jurulatih Villarreal, Juan Carlos Garrido mahu menggunakan perlawanan awal pagi esok untuk mengukuhkan kedudukan pasukannya di tangga ketiga liga.
"Mereka (Barcelona) merupakan pasukan terbaik di dunia tetapi mereka masih mampu untuk ditewaskan dalam sesuatu perlawanan dan kami akan cuba melakukannya," tegas Garrido.
Sementara itu, Real pula bakal menanti kunjungan Sporting Gijon awal pagi esok tanpa Marcelo dan juga penyerangnya, Karim Benzema yang mengalami kecederaan paha ketika beraksi untuk Perancis.
Jurulatih Real, Jose Mourinho turut dijangka tidak menurunkan Cristiano Ronaldo kerana enggan mengambil risiko bagi menghadapi pertemuan penting suku akhir pertama Liga Juara-Juara dengan Tottenham awal Rabu depan.
"April bakal menjadi bulan yang cukup sukar kerana kami perlu fokus kepada tiga kejohanan. Kami akan hadapi setiap perlawanan dengan sama iaitu untuk menang," kata Mourinho. - AFP