Friday, April 08, 2011

Red Bull uji impak KERS di Sepang




WEBBER (kiri) berbincang sesuatu dengan pekerja teknikal pasukan Red Bull menjelang perlumbaan GP Malaysia di Litar Sepang, Ahad ini.


KUALA LUMPUR - Mark Webber berpendapat bahawa Red Bull 'kurang bijak' jika mereka menggunakan sistem tenaga kinetik (KERS) pada perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Malaysia penghujung minggu ini.
Menurut pemandu dari Australia itu, ini kerana pasukannya masih mampu mengharungi perlumbaan di Litar Sepang hanya dengan bersandarkan kekuatan yang ada pada jentera mereka.
Red Bull membuat kejutan apabila tidak menggunakan alat tersebut pada perlumbaan pembuka musim F1 di Australia, namun masih mampu mengatasi pasukan pencabar mereka setelah Sebastian Vettel muncul juara.
Pasukan tersebut berdepan kesukaran dengan berat sistem KERS yang dilengkapi dengan bateri itu ke atas jentera mereka pada sesi latihan di Melbourne, sekali gus memutuskan untuk tidak menggunakannya bagi meringankan keseimbangan jentera di litar jalanan Albert Park.
Begitupun, laluan lurus dan panjang di Litar Sepang memberi kelebihan pada pecutan dan Webber memberi bayangan bahawa pasukannya akan menggunakan KERS sekiranya berpuas hati pada sesi latihan hari ini.
"Kami akan dapat gambaran sebenar esok (hari ini)," kata Webber semalam.
"Agak kurang bijak kalau tidak mencubanya kerana kamu memang memerlukan KERS.
"Kalau alat ini berfungsi dan memberi kesan yang baik, kamu patut memasangnya pada jentera pasukan ini."
Webber juga berkata, sayap belakang yang boleh bergerak juga akan menjadi faktor lebih besar pada perlumbaan di Malaysia berbanding di Australia.
Laluan lurus di Litar Sepang adalah antara laluan terpanjang dalam kalendar F1 dan sayap belakang yang boleh bergerak ini pastinya memberi faedah kepada jentera, terutamanya ketika memotong jentera di depan.
"Perlumbaan di sini (Litar Sepang) akan menjadi satu versi yang berbeza. Jika ia tidak membantu kami di sini, saya tidak tahu lagi apakah fungsi sebenar KERS," kata Webber yang menduduki tempat kelima pada GP Australia lalu. - Agensi