![]() |
AZIZULHASNI (kiri) merupakan pelumba asal dalam trio pecut berpasukan sebelum tempatnya diambil oleh Edrus. |
KHIDMAT jaguh pecut negara, Mohd. Azizulhasni Awang mungkin ditagih dalam acara pecut berpasukan bagi memastikan Malaysia mempunyai wakil dalam acara itu pada Sukan Olimpik London 2012 nanti.
Ketika hanya tinggal lebih 12 bulan lagi sebelum pusi- ngan kelayakan ke temasya itu berlangsung, trio pecut negara yang dibarisi Josiah Ng, Mohd. Rizal Tisin dan Mohd. Edrus Yunos masih gagal mengutip mata yang diperlukan untuk layak secara automatik.
Hanya dua slot sahaja ditawarkan dalam acara itu di setiap benua dan buat masa ini trio negara masih berada di tempat ketiga di belakang pendahulu, China dan Jepun.
Situasi ini mengundang resah Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang mahu Malaysia mempunyai wakil dalam acara ini di London nanti dan pelumba keirin No. 1 dunia, Azizulhasni dilihat sebagai jawapannya.
“Kita mungkin terpaksa menyenaraikan semula Azizulhasni dalam trio utama acara pecut berpasukan sekiranya mahu melayakkan diri beraksi di temasya Olimpik London 2012,” kata Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad.
“Sekarang tinggal lebih 12 bulan saja lagi sebelum aksi kelayakan bermula, jadi saya harap dengan kehadiran Azizulhasni, kita mampu mencatat kemenangan dalam beberapa kejohanan siri dunia dan kejohanan lain tahun ini.
“Ini penting kerana trio yang ada sekarang masih belum mampu mengutip banyak mata dan di belakang China serta Jepun dalam perebutan dua slot acara ini di benua Asia,” jelas beliau lagi.
Azizulhasni merupakan pelumba asal dalam trio pecut berpasukan sebelum tempatnya diisi oleh Edrus kerana pelumba yang digelar The Pocketrocketman itu mahu menumpukan perhatian kepada dua acara kegemarannya pecut individu dan keirin.
“Ketika ini hanya Azizulhasni (keirin, pecut individu) dan Fatehah Mustapa (keirin wanita) saja yang dilihat berpeluang cerah untuk layak ke Sukan Olimpik 2012.
“Jadi kalau boleh kita mahu pasukan pecut kita juga layak beraksi kerana ia akan memberi gambaran keseluruhan tentang kekuatan sebenar pasukan Malaysia.
“Kita telah mencuba beberapa gandingan pelumba sejak dua tahun lalu, tetapi saya rasa gandingan Azizulhasni, Josiah dan Rizal adalah yang terbaik,” tambah Naim lagi.