![]() |
PASUKAN Lotus Renault GP membawa jenama Proton dalam saingan F1. |
PERLUMBAAN kereta Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Malaysia 2011 di Litar Sepang, Ahad ini cukup istimewa buat rakyat Malaysia.
Mana tidaknya, tiga pasukan yang bersaing akan membawa imej Jalur Gemilang.
"F1 sentiasa menjadi acara khas buat Malaysia. Bagaimanapun, tahun ini ia lebih istimewa," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengulas pembabitan syarikat-syarikat korporat Malaysia dengan pasukan-pasukan F1 Mercedes GP Petronas, Lotus Renault GP dan Tim Lotus.
"Tidak pernah sebelum ini acara itu dikaitkan dengan begitu banyak syarikat Malaysia dan ini menjadikan GP Malaysia 2011 seolah-olah perlumbaan di tanah air sendiri buat pasukan-pasukan terbabit pada musim ini."
Najib berkata demikian dalam mesej pada buku program rasmi acara itu yang dipetik oleh promoter perlumbaan, Sepang International Circuit Sdn. Bhd. dalam kenyataannya semalam.
Beliau berkata, kepentingan Malaysia dan imej cemerlangnya akan ditonjolkan dengan begitu ketara pada tahun ini, dalam semua pusingan ke serata dunia menerusi penyertaan Mercedes GP Petronas, Lotus Renault GP dan Tim Lotus.
"Tahun ini menandakan edisi ke-13 GP Malaysia yang bermula pada 1999 bila ia pertama kali dimajukan sebagai penggalak pelancongan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi antarabangsa dan mengangkat imej negara di mata dunia.
"Formula 1 kini diterima oleh lebih banyak syarikat Malaysia, yang juga sebagai alat bisnes mereka," kata beliau.
"Dengan jumlah penonton global yang besar yang disiarkan menerusi beratus juta televisyen pada hari perlumbaan saja, sukan ini tidak syak lagi merupakan platform paling berkesan untuk mendapatkan kelebihan antarabangsa dan pengiktirafan seantero dunia.
"Selain penjenamaan global, ia juga menjadi tempat untuk rangkaian bisnes, pentas untuk menampilkan sebuah negara dan jentera untuk pemindahan teknologi.
"Yang demikian bagi Malaysia, sebagai sebuah negara yang berhasrat menjadi pemain utama dalam industri automotif, hubungannya yang rapat dengan Formula 1 memang wajar," kata Najib.
Saingan F1 bagi musim 2011 telah bermula di Albert Park, Melbourne pada 27 Mac lalu.