
PESAKIT RA beramah mesra bersama Timbalan Ketua Pengarah LPPKN, Dr. Anjli Doshisambil (tiga dari kanan) sambil diperhatikan oleh Amir (dua dari kanan) dan Muru Annamalai (kanan).
SEBUT sahaja RA pastinya ramai yang tertanya-tanya dan tidak tahu mengenainya. RA atau nama penuhnya artritis reumatoid merupakan sejenis penyakit yang biasa didapati di seluruh dunia dan lima orang daripada 1,000 orang di Malaysia berisiko mengalaminya.
RA adalah penyakit yang merujuk kepada sendi-sendi yang mengalami keradangan sehingga seseorang yang menghidapnya tidak dapat menjalani kehidupan normal kerana kesakitan dan kelemahan pada sendi yang membataskan pergerakan.
Peka dengan impak yang bakal berlaku kepada nasib pesakit-pesakit dan orang awam yang mungkin tidak mengetahui diri mereka mengalami RA, Yayasan Artritis Malaysia (AFM) dan Abbott Laboratories Malaysia berpadu tenaga melancarkan satu kempen memerangi RA iaitu Malaysian Women in Rheumatoid Arthritis (My Wira).
“Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam masyarakat mengenai RA dalam masa yang sama berkongsi kisah mengenai bagaimana pesakit-pesakit RA menjalani kehidupan seharian mereka.
“Kesemua cerita dalam buku My Wira berdasarkan pengalaman wanita-wanita yang mengalami RA. Mereka bercerita tentang kesakitan yang dialami dan bagaimana mereka mendapatkan rawatan sehingga boleh meneruskan survival untuk hidup normal seperti orang lain dengan sokongan penuh ahli keluarga,” kata Presiden AFM, Dr. Amir Azlan Zain sempena Majlis Pelancaran Kempen My Wira di Hotel Hilton Kuala Lumpur baru-baru ini.
RA sebenarnya merupakan masalah kesihatan kronik di Malaysia yang merupakan salah satu punca utama ketidakupayaan pada sendi. RA menyerang lebih ramai wanita berbanding lelaki iaitu sebanyak 75 peratus.
“Saya tidak kisah dan tidak marah jika ada orang merenung melihat saya kerana keadaan diri saya. Saya anggap ia sebagai satu keistimewaan yang tidak semua orang miliki.
“Walaupun saya mengalami JIA (Juvenile Idiopathic Arthritis) seawal usia dua tahun, saya sama seperti kawan-kawan lain yang melanjutkan pelajaran di kolej, malah berulang-alik setiap hari dari Seremban ke sini (Kuala Lumpur) dengan menaiki komuter. Saya tidak mahu apa yang saya alami membataskan impian saya menuntut ilmu,” kata Chia Wei Yin, 19, yang merupakan pelajar praundang-undang di sebuah kolej swasta.
Seorang lagi pesakit yang diserang RA pada hujung tahun 2006, Zaleha Idris, 58, menasihatkan orang ramai yang mengalami kesakitan di sendi-sendi segera berjumpa dengan doktor.
“Dapatkan rawatan segera jika anda mengalami kesakitan dan kebengkakan pada sendi. Jika dibiarkan ia akan menjadi lebih teruk dan anda tidak betah melakukan kerja-kerja seharian.
“Saya sendiri menderita selama tiga bulan. Saya tidak boleh pegang barang dengan tangan dan mengalami kesakitan di seluruh badan sehingga tidak mampu bangun. Selepas mendapatkan rawatan, kesihatan saya semakin pulih dari sehari ke sehari,” katanya yang mendapat sokongan keluarga terutamanya daripada suami tercinta, Abdul Halim Othman, 55.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Abbott Laboratories Malaysia, Muru Annamalai memberitahu, pelancaran MY WIRA merupakan fasa perjalanan buat Abbott untuk mencetuskan kesedaran awam mengenai RA yang menjejaskan kehidupan wanita di Malaysia.
“Komitmen kami bermula pada tahun 2009 dan kami memperbaharui komitmen ke tahap seterusnya dengan pelancaran coffee table book hasil gabungan pengalaman para pesakit RA itu sendiri.
“Diharapkan dengan buku ini, orang awam di luar sana lebih mengetahui mengenai RA dalam masa yang sama ia dapat `melindungi’ wanita di sekeliling anda daripada menderita kerana RA,” katanya.