Friday, April 08, 2011

Liverpool dilanda krisis kecederaan



AGGER mengalami kecederaan lutut ketika Liverpool tewas 1-2 kepada West Brom, Sabtu lalu.



LONDON - Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish kini dihimpit krisis kecederaan selepas pemain pertahanannya, Daniel Agger dan Glen Johnson terpaksa direhatkan.
Agger mengalami kecederaan di lutut ketika tewas 1-2 kepada West Brom pada Sabtu lalu dan terpaksa melupakan terus saingan Liga Perdana England musim ini.
Johnson pula mengalami kecederaan hamstring pada perlawanan yang sama dan memerlukan rehat selama sebulan.
"Daniel mengalami masalah pada tendon bahagian belakang lututnya dan tidak akan bermain lagi musim ini," kata Dalglish.
"Dia perlu berehat selama beberapa bulan sebelum boleh beraksi sekali lagi."
Dengan masalah hamstring Martin Kelly yang berulang kembali, Dalglish kini berdepan krisis pemain pertahanan menjelang kunjungan Manchester City minggu depan.
Kubu mereka dikawal empat pertahanan tengah pada perlawanan dengan West Brom dengan Jamie Carragher dan Danny Wilson terpaksa diletakkan di posisi kanan dan kiri.
Kehadiran Fabio Aurelio menjalani latihan semula selepas berehat sebulan kerana hasmtring datang tepat pada masanya, namun dia masih lagi kurang cergas.
Terbaru, ada laporan menyatakan yang kapten skuad The Reds, Steven Gerrard mungkin terlepas baki saingan musim ini kerana mengalami kecederaan.
Perancang England itu dijangka beraksi pada pertemuan dengan West Brom selepas pulih daripada pembedahan pangkal paha, namun kecederaan yang sama dilihat berulang kembali ketika dia menjalani latihan minggu lepas.
"Glen Johnson mengalami hamstring dan perkara sama turut menimpa Martin Kelly.
"Bagi Gerrard pula, kita akan tahu keadaannya penghujung minggu ini.
"Dia akan diperiksa dan kita akan tunggu apakah masalahnya," kata Dalglish.