
WALAUPUN penat selepas lima jam berkayak semua peserta terlibat berpuas hati dan berharap program sebegitu dapat diteruskan pada masa akan datang.
WALAUPUN terpaksa mengambil masa lebih lima jam untuk perjalanan kira-kira 33 kilometer, namun bunyi kocakan air dan keindahan flora dan fauna sepanjang sungai Terengganu membuatkan perjalanan menjadi singkat.
Burung bangau dan helang yang menjadi kitaran kehidupan di sepanjang laluan dari Jambatan Kuala Berang, Hulu Terengganu dan Kampung Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu terus memukau pandangan.
Beting pasir dan kehijauan flora yang sedikit sebanyak menambah cabaran di sepanjang perjalanan itu juga membuatkan aktiviti berkayak anjuran Stesen Janakuasa Èlektrik Sultan Mahmud baru-baru ini lebih mencabar.
Aktiviti ekonomi penduduk sepanjang sungai itu seperti penternakan ikan sangkar, pertanian dan juga aktiviti mengorek pasir turut menghidangkan satu pemandangan kehidupan.
Selain itu, suasana kehidupan masyarakat di sepanjang sungai juga turut menambah rencah dalam program yang bertemakan Cintai Sungai Kita oleh kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu.
Ditambah sambutan dan kemesraan penduduk kampung di sepanjang laluan dengan dua tempat persinggahan dan lokasi akhir program tersebut juga, ia banyak meninggalkan kesan kepada kira-kira 400 individu terlibat.
Mungkin benar kata orang, menelusuri sungai Terengganu juga boleh diibaratkan seperti mengenali negeri yang kaya dengan sumber air itu kerana dikatakan sejarahnya bermula dari sungai tersebut.
Menurut Pengerusi bersama program tersebut, Sarjan Mohamad Che Embong, kira-kira 50 buah kayak digunakan untuk membawa 100 orang yang terdiri daripada kakitangan TNB dan penduduk kampung sempena program itu.
“Kami mulakan program ini seawal pukul 7 pagi dan mula berkayak sekitar pukul 8 pagi di Dataran Jambatan Kuala Berang.

KAKITANGAN TNB bertungkus-lumus mengutip sebanyak mungkin sampah di Kampung Tapu, Hulu Terengganu dan Kampung Pasir Tinggi, Telemong.
“Selepas itu kami berhenti di dua lokasi iaitu di Kampung Tapu, Hulu Terengganu dan Kampung Pasir Tinggi, Telemong untuk melakukan projek amal membersihkan kawasan sungai di dua lokasi itu,” katanya.
Jelas Mohamad, sambutan yang diterima di dua lokasi tersebut sangat menggalakkan apabila ada penduduk kampung turut menyertai mereka melakukan kerja-kerja membersih sungai.
“Perjalanan kami teruskan ke lokasi penamat di Kampung Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu dan sambutan di lokasi itu lebih meriah apabila penduduk kampung bergotong-royong membuat sedikit majlis untuk menyambut kami.
“Antara aktiviti yang dijalankan ialah sukaneka, pertandingan mewarna dan banyak lagi,” katanya.
Sumbangan
Selain itu jelasnya, pihak TNB turut menghulurkan sedikit sumbangan kepada 20 keluarga miskin di beberapa buah kampung sekitar kawasan itu.
“Ini adalah sebahagian daripada khidmat kami kepada masyarakat dan dalam masa sama memastikan keindahan alam sekitar tetap terjaga.
“Sebab itu kita adakan program menyusur sungai ini kerana dari sini kita boleh lihat betapa indahnya negeri Terengganu dan permulaan sejarah negeri ini yang banyak berlaku sekitar sungai ini,” katanya.
Jelasnya, oleh sebab itu semua pihak perlu berganding bahu dan terus menjaga keindahan sungai tersebut.
Kata Mohamad lagi, ini adalah program pertama anjuran pihaknya dan beliau terharu kerana sambutan yang diterima sangat menggalakkan terutama daripada kakitangan TNB sendiri dan juga orang ramai.
“Biarpun semua peserta program agak kepenatan kerana perlu berkayak selama lebih lima jam dan meneruskan aktiviti sampingan, namun masing-masing berpuas hati.
“Hampir kesemua peserta pulang dengan senyuman walaupun selepas program semuanya begitu keletihan,” katanya.
Ujar Mohamad, setakat ini belum ada perancangan untuk menjadikan program itu sebagai program tahunan namun, dengan sambutan yang diterima tidak mustahil program serupa akan dianjurkan lagi.