Friday, April 08, 2011

Rebab Berbisik, konflik makyung


ROSNAN begitu sayangkan seni makyung.


APABILA memperkatakan tentang makyung, ia sinonim dengan sebuah seni persembahan yang mula berakar umbi di negeri Kelantan sejak 400 tahun yang lalu. Ia merupakan sebuah dramatari tradisional yang menggabungkan lakonan, muzik dan nyanyian.
Menariknya, makyung merupakan satu-satunya kesenian Melayu yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai salah satu warisan yang perlu terus dipelihara.
Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa seni makyung kini dikatakan semakin pupus lantaran tidak ramai lagi generasi muda pada hari ini yang mahu mewarisi seni persembahan tersebut.
Gambaran mengenai kepupusan makyung ini juga turut dipaparkan menerusi monodrama berjudul Rebab Berbisik yang dilakonkan oleh Rosnan Abd. Rahman, seorang pencinta dan penggiat makyung terkenal dan turut dikenali sebagai Pakyung.
Menurut Rosnan, Rebab Berbisik mula dipentaskan kepada umum sejak tahun 2007 yang lalu di pusat teater Stor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sejak itu, monodrama berkenaan mendapat kerjasama daripada DBP dan dipentaskan ke beberapa buah negeri.
“Selain mengadakan persembahan, saya bersama beberapa pihak yang menjayakan monodrama ini turut mengadakan bengkel mengenai makyung terutamanya kepada para pelajar universiti.
“Kini saya berasa begitu gembira apabila pihak Istana Budaya telah memberi peluang kepada saya untuk mengadakan persembahan di sini, sekali gus dapat mempromosikan seni makyung kepada skala yang lebih besar,” ujarnya.
Rebab Berbisik mengisahkan mengenai konflik yang dilalui oleh Pak Su Mat, seorang pencinta dan penggiat seni makyung yang cukup terkenal di zaman kegemilangan seni tersebut bersama isterinya, Mek Ning yang juga seorang primadona makyung.
Namun setelah ketiadaan Mek Ning, Pak Su Mat yang dikurniakan dua orang anak iaitu Mimi dan Azri berada dalam dilema apabila kedua-dua anaknya itu menolak untuk mempelajari seni makyung.
Lebih menarik lagi, Rosnan juga bertindak sebagai satu-satunya pelakon untuk persembahan monodrama itu dan akan membawakan keempat-empat watak iaitu sebagai Pak Su Mat, Mek Ning, Mimi dan Azri.
Menceritakan tentang sambutan untuk monodrama tersebut, Rosnan turut melahirkan rasa gembiranya apabila Rebab Berbisik yang akan dipentaskan di Lambang Sari Istana Budaya bermula hari ini, 8 hingga 11 April ini mendapat sambutan hangat.
Menurutnya, di sebalik tanggapan makyung yang semakin pupus, sebenarnya masyarakat kini semakin ramai yang terbuka dan menerima sesebuah kesenian seperti makyung.
“Seminggu sebelum persembahan monodrama ini berlangsung, sudah 70 peratus tiket yang terjual dan keadaan ini sememangnya agak mengejutkan dan di luar dugaan saya sendiri.
“Ini menunjukkan masyarakat kita memiliki sifat ingin tahu yang tinggi dan pastinya menerusi monodrama ini boleh menjadi platform untuk memperkenal dan mempromosikan seni makyung terutamanya kepada generasi sekarang,” jelasnya.
Menurut Rosnan lagi, monodrama berkenaan turut mendapat perhatian organisasi korporat. Misalnya tiket untuk persembahan pada esok dan 10 April ini telah habis dibeli oleh JW United Corporation Sdn. Bhd. dan Institut Terjemahan Negara.
Tarik semula pengiktirafan
Rahimidin Zahari yang bertindak selaku penulis skrip dan pengarah Rebab Berbisik menyatakan bahawa dia menghasilkan skrip untuk monodrama berkenaan berlandaskan kesedaran tentang makyung yang semakin tidak diiktiraf masyarakat tempatan.
Luahnya, nasib seni makyung ini lebih buruk apabila ada pihak-pihak tertentu yang cuba mempertikaikan bahawa makyung bukan berasal dari negara ini.
“Mereka yang mempertikaikan mengenai perkara tersebut mahu pihak UNESCO menarik semula pengiktirafan yang telah diberikan sebelum ini.
“Sekiranya menjadi kenyataan, sudah tentu ianya menjadi suatu perkara yang cukup malang memandangkan makyung satu-satunya kesenian Melayu yang telah diiktiraf dunia,” jelasnya.
Menurut Rahimidin lagi, seni makyung juga boleh dikatakan berada di ambang kepupusan berdasarkan bilangan tokoh-tokoh makyung yang kini boleh dibilang dengan jari sahaja.
“Jadi segala rintihan dan harapan tentang nasib makyung pada hari ini kesemuanya akan dipaparkan oleh Rosnan pada persembahan monodrama Rebab Berbisik nanti,” ujarnya.