
SYED ZAINAL (kanan) membawa pasukan F1 LRGP yang melawat ibu pejabat dan kilang pengeluaran Proton di Shah Alam semalam.
SHAH ALAM – Proton Holdings Bhd. (Proton) optimis untuk menjadi peneraju pasaran kereta di Malaysia pada tahun ini, setelah kehilangan posisi itu sejak lima tahun lalu.
Kedudukan tersebut kini dimiliki oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) yang memegang status tersebut.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, tiga faktor utama yang akan memacu sasaran itu adalah keyakinan pelanggan yang semakin mengukuh, kualiti dan penentuan harga kenderaan yang dihasilkan dan pengukuhan rangkaian pengedar dan cawangan.
“Kami sentiasa berusaha dalam aspek pemasaran dan penjenamaan untuk memastikan peningkatan jumlah jualan kenderaan kami dari tahun ke tahun.
“Dua hingga tiga bulan lalu kami melihat terdapatnya peningkatan jualan, ia mungkin hasil usaha kami selama ini termasuk kepercayaan pembeli terhadap jenama Proton yang semakin utuh dan rancangan kami yang sentiasa meningkatkan rangkaian pengedar dan cawangan,” katanya.