Friday, April 08, 2011

Ancelotti selar pengadil




TORRES (kiri) menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pengadil perlawanan, Alberto Undiano selepas Chelsea tewas 0-1 kepada United awal pagi semalam.


LONDON - Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti tidak dapat menyembunyikan perasaan marahnya kepada pengadil perlawanan, Alberto Undiano.
Ia gara-gara keputusan pengadil dari Sepanyol itu yang enggan memberikan sepakan penalti kepada skuad The Blues ketika tewas 0-1 kepada Manchester United pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Ancelotti mendakwa, skuad kendaliannya itu wajar dihadiahkan sepakan penalti selepas tonggak pertahanan United, Patrice Evra mengasari pemain tengah, Ramires pada lewat babak perlawanan pada aksi di Stamford Bridge itu.
Sekiranya, Udiano menghadiahkan sepakan penalti kepada The Blues, perlawanan itu pastinya akan berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Begitupun, ia tidak menjadi kenyataan apabila skuad The Red Devils berjaya mencatat kemenangan tipis hasil jaringan 'ayam tambatan'nya, Wayne Rooney pada minit ke-24.
"Ia dapat dilihat dengan jelas. Semua orang tahu yang kami (Chelsea) berhak untuk diberikan sepakan penalti.
"Ada masanya, memang sukar untuk memberikan sepakan penalti. Apatah lagi apabila ia berlaku pada minit-minit terakhir perlawanan tetapi pengadil perlu memiliki keberanian untuk membuat keputusan.
"Begitupun, tidak semua pengadil memiliki skil yang sedemikian dan berani dalam membuat sebarang keputusan," kata Ancelotti.
Menurut Ancelotti, beliau ada mengemukakan bantahan kepada Udiano sejurus tamat perlawanan tetapi pengadil tersebut tidak mengendahkannya.
"Saya memberitahunya (Udiano) bahawa dia sepatutnya memberi kami sepakan penalti tetapi jawapan yang diberikannya adalah tidak." - AFP