Friday, April 08, 2011

Makruh guna baja najis



TANAMAN menggunakan baja najis mughalazah harus dimakan namun lebih baik jika dapat dielakkan.



SAYA ingin bertanya tentang hukum memakan makanan yang menggunakan baja daripada najis?
JAWAPAN: Manusia memerlukan sumber makanan yang bersih dan halal untuk meneruskan survival kehidupan di dunia ini. Islam sangat syumul dalam pemilihan makanan dengan menekankan yang bersih dan halal. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
"Makanlah apa yang dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda yang halal lagi bersih. Bersyukurlah dengan nikmat Allah jika kamu benar-benar menyembah Allah.
"Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang sembelihan bukan kerana Allah. Maka, sesiapa dalam keadaan yang terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja dalam mencarinya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha penyayang." (Surah An-Nahl :114-115).
Ia akan menjamin kesihatan dan kecergasan tubuh untuk sentiasa beribadah kepada Allah Taala. Namun wajar kita memastikan sumber makanan itu daripada yang bersih dan halal.
Merujuk kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-2 yang bersidang pada 12-13 Mei 1981 telah memutuskan bahawa berdasarkan nas daripada kitab tersebut, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa menyatakan bahawa baja yang diperbuat daripada tahi babi adalah najis mughalazah, sementara hukum menggunakannya sebagai baja adalah harus serta makruh.
Hasil tanaman yang menggunakan baja daripada najis mughalazah harus dimakan kerana telah berubah daripada zat nutrien kepada pokok dan seterusnya membuahkan hasil.
Ia juga sama seperti berubahnya arak daripada nira kelapa kepada bentuk tuak yang tidak memabukkan. Seandainya terdapat salah satu daripada bau, rasa atau warna pada hasil tanaman tersebut, maka ia wajib dibersihkan dan jika was-was elok dibuang sahaja. Namun, jika kita telah mengetahui terlebih dahulu bahawa terdapat penggunaan najis babi sebagai baja, maka wajib kita elakkannya.
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu". (Riwayat Muslim)
Ada hikmah di sebalik musibah
SAYA ada kemusykilan sedikit. Apabila berlaku sesuatu masalah yang bertimpa-timpa, saya sering menyalahkan takdir kerana terlalu marah dengan hal yang terjadi. Kini saya sudah menyesal dan berasa sangat bersalah. Apakah hukumnya jika kita menyalahkan takdir dan apa yang perlu saya lakukan?
JAWAPAN: Setiap kejadian yang melibatkan segala kehidupan di dunia ini adalah di bawah kekuasaan dan ketentuan Allah Taala. Reda dengan ketentuan Allah dengan menanamkan kesabaran atas setiap musibah yang berlaku supaya tenang dalam menghadapi dugaan.
Islam menganjurkan umatnya menerima ketentuan nasib daripada Allah seperti sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
"Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata: Jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendaklah kamu katakan: Allah telah mentakdirkan dan apa yang ia suka, ia perbuat! "Kerana sesungguhnya perkataan: andaikata...itu memberi peluang pada syaitan". (Riwayat Muslim)
Sesungguhnya sesuatu yang berlaku adalah layak baginya untuk memikulnya kerana Allah Maha Mengetahui atas segala yang berlaku. Ada hikmah yang tersembunyi yang mungkin manusia itu lemah untuk memikirkan hikmah di sebaliknya. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
"Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya! Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seseorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin. Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya, dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya". (Riwayat Muslim)