RM59.7 juta untuk PBT di Sarawak
04/04/2011 10:29am
MIRI – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperuntukkan sebanyak RM59.7 juta kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Sarawak tahun ini untuk memastikan projek yang diperlukan rakyat dapat dilaksanakan, kata Menterinya Datuk Wira Chor Chee Heung.
Beliau berkata setakat 28 Feb lalu, kira-kira RM22.1 juta peruntukan diagihkan untuk melaksana projek kecil di kawasan PBT selain tambahan RM28.3 juta lagi untuk geran tahunan dan RM9.3 juta untuk Sumbangan Membantu Kadar 2011.
"PBT diminta melaksanakan projek-projek tersebut dengan segera supaya rakyat tahu keperluan mereka tidak diabaikan,” katanya ketika berucap pada majlis terima geran tahunan dan Sumbangan Membantu Kadar Tahun 2011 di sini malam tadi.
Katanya pihak kementerian sentiasa memberi perhatian kepada usaha-usaha mempertingkatkan kecekapan PBT di Sarawak dalam memberikan perkhidmatan perbandaran terbaik kepada penduduk setampat.
Menurutnya dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan PBT, kementerian telah melaksanakan sistem penggredan PBT yang dikenali Sistem Star Rating Pihak Berkuasa Tempatan. - Bernama