Hujung minggu yang sukar - Button
LONDON - Jenson Button yakin dia akan mengetuai semula kelompok hadapan pelumba pada perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Malaysia, Ahad ini.
Meskipun melalui kesukaran pada ujian pramusim lalu, pemandu McLaren itu masih mampu menamatkan saingan di tempat keempat pada perlumbaan pembukaan musim, GP Australia pada 27 Mac lalu.
Ketika rakan sepasukannya, Lewis Hamilton menaiki podium, Button telah dikenakan penalti, sekali gus menghalangnya untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan tiga terbaik.
Button, 31, mengakui jentera MP4-26 yang telah diubah suai dengan menampilkan reka bentuk ekzos baru, berpeluang untuk menamatkan saingan di kedudukan terbaik di Litar Sepang.
"Ketika saya memulakan saingan dalam F1, GP Malaysia adalah satu perlumbaan terbaru dalam kalendar F1 tetapi kini saya seperti pelumba lama yang menjadi pilihan," kata juara dunia 2009 itu.
"Saya rasa, Litar Sepang sudah banyak melalui perubahan, sering kali menjadi litar yang terbaik tetapi saya merasakan ia amat sesuai dengan diri saya dan ia sangat baik.
"Ini adalah litar yang mana kami memerlukan jentera yang sangat efisien, selekoh di sini sangat tajam dan ia akan menghukum jentera yang lemah.
"Selepas Melbourne, apabila saya berasakan seperti saya mempunyai jentera yang solid, saya memandang ke hadapan untuk melakukan sesi ujian, sekali gus melihat bagaimana pelumba lain menyesuaikan diri dengan litar ini.
"Sudah tentu, salah satu pertimbangan para pemandu adalah untuk memastikan kami dapat menghabiskan perlumbaan itu dengan sempurna.
"Selagi kamu belum sampai ke Malaysia, kamu tidak boleh menghargai apa yang telah dilakukan. Secara fizikalnya, ia adalah suatu perlumbaan yang sukar tahun ini. Satu tempat di mana memerlukan kecergasan yang baik sejak musim salji lalu.
"Saya menang di sini pada tahun 2009 dalam satu situasi yang terburuk, saya tidak memiliki pengalaman berlumba.
"Apa sekalipun keadaan cuaca, saya yakin kami akan melalui satu lagi hujung minggu yang sukar." - Agensi