
Paris mengaku ikon fesyen
PARIS HILTON |
DIA langsung tidak kisah sekiranya dikatakan cuba meniru gaya selebriti yang semakin menyinar, Kim Kardashian. Bagaimanapun, Paris Hilton yang mewarisi empayar perniagaan keluarganya mengakui bahawa dia merupakan pelopor fesyen paling popular.
“Ramai di luar sana cuba meniru apa yang saya lakukan. Saya seorang yang asli tanpa perlu meniru orang lain. Tiada yang boleh menandingi saya,” beritahunya kepada The Associated Press (AP).
Hilton yang terkenal dengan kehidupan sosialnya itu telah membesar bersama Kim yang juga berusia 30 tahun. Malah, dia juga dikatakan merupakan mentor kepada Kardashian.
Ini kerana dia merupakan individu pertama yang mendedahkan rakannya itu ke populariti Hollywood.
Dalam pada itu, Paris yang kini sedang sibuk mempromosikan koleksi terbaru kasut jenama dirinya berkata, dia merupakan seorang profesional serta tahu hala tuju yang diimpikannya.
“Saya telah lakukan semua yang saya inginkan. Sudah tentu saya begitu gembira kerana apa yang saya lakukan pastiya berjaya.
“Jadi ia sungguh menyeronokkan dan tiada apa lagi yang perlu saya lakukan,” tutur Paris dengan jujur.
Turut mengakui bahawa dirinya merupakan seorang ikon fesyen untuk wanita, Paris memberitahu; “Ramai yang menggemari fesyen atau stail saya. Apabila membeli produk saya, dengan secara semula jadi mereka boleh menjadi diri saya.”